sesamamu

Sunday, September 26, 2010

Rukun negara yang pertama...KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

Setelah peristiwa tragedi 13 Mei 1969, MAGERAN ataupun Majlis Gerakan Rakyat telah duduk berbincang dan sepakat membentuk Rukun Negara Malaysia yang menjadi asas tonggak ideologi negara kita. Ia nya telah di bentuk hampir setahun selepas tragedi 13 Mei itu, iaitu 31 Ogos 1970.

Intipati Rukun Negara

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Kepercayaan kepada Tuhan di tempat yang pertama?

Ya, menjadi tanda tanya pula, kenapa KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN diletakkan di tempat yang pertama didalam susunan Rukun Negara kita?
Para ahli MAGERAN telah mengkaji dengan teliti betapa rakyat di Negara kita ini terdiri daripada pelbagai kaum mahupun anutan agama yang berbeza. Mereka sedar akan kepelbagaian ini dan itu mungkin telah mendorong mereka untuk meletakkan kepercayaan kepada Tuhan menjadi asas kepada keharmonian rakyat di negara kita ini.
Kita sedia maklum bahwa perlembagaan persekutuan telah memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara kita, tetapi dalam masa yang sama agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram.

Kenapa Percaya kepada Tuhan?

Ahli-ahli MAGERAN menyedari betapa pentingnya prinsip kepercayaan kepada Tuhan ini. Ini telah mendorong mereka meletakkannya sebagai prinsip yang pertama yang harus ada pada mana-mana rakyat Malaysia.
Setiap agama mahupun kepercayaan-kepercayaan yang ada di negara kita boleh mempengaruhi dan membentuk keperibadian seseorang itu. Ketiadaan pegangan agama yang kuat boleh meruntuhkan keperibadian seseorang itu dan secara langsung boleh menggugat bangsa dan mahupun negara. Setiap agama yang diamalkan di negara kita ini mengajar penganutnya memberi sepenuh kepercayaan kepada Tuhan yang mereka sembah itu. Kepercayaan kepada Tuhan yang tidak berbelah bahagi itu akan menjadikan sesorang itu mempunyai rasa Hormat baik kepada orang lain mahupun dirinya sendiri. Ini menjadikan masyarakat kita hidup di dalam aman dan damai. Sebagai bukti, sehingga sekarang kita hidup dengan aman dan saling menghormat-hormati terhadap satu sama lain walaupun dengan perbezaan yang ada.

Letakkan Tuhan ditempat yang pertama...

Dalam hidup seharian kita juga, seharusnya kepercayaan kepada Tuhan diletakkan di tempat yang pertama. Kerana terbukti, apabila negara kita meletakkan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan di tempat yang pertama di dalam rukun Negara kita, rakyat Malaysia telah menerima kesannya. Kesan yang baik di mana rakyat di negara kita "diberkati" dengan hidup yang aman dan damai.
Apatah lagi kalau masing-masing peribadi kita percaya kepada Tuhan yang kita sembah dengan segenap hati, sudah pasti hidup kita sendiri dan orang lain yang ada disekitar kita akan hidup dalam harmoni.

Apa akan berlaku kalau Tidak percaya kepada Tuhan?

Persoalan ini "sesamamu" tinggalkan kepada kita untuk kita sama-sama renungkan. Apa yang bakal berlaku kepada peribadi mahupun negara kita kalau "kepercayaan kepada Tuhan" tidak diletakkan di tempat yang pertama di dalam hidup seseorang itu?
Sebagai contoh...Isu pembuangan bayi, Pembunuhan kejam, Penderaan kanak-kanak, Penderaan amah, Ragut, Rasuah, penindasan yang lemah, pemandu yang cuai di jalan raya, dan banyak lagi. Ini adalah sebilangan kecil perkara yang berlaku di negara kita oleh mereka yang MUNGKIN meletakkan kepercayaan kepada Tuhan di tempat yang salah dalam hidup mereka...

Percayalah kepada TUHAN, dengan segenap hati mu, dan janganlah bersandar kepada pengertian mu sendiri...proverb 3:5

Selamat hari Malaysia yang ke 47 tahun...

Monday, September 20, 2010

"ada ku kisah Malaysia?"

Ada ku kisah? atau juga bermaksud, ada aku peduli - tentang apa yang berlaku di negara ku Malaysia? Agak-agaknya apakah sumbangan kita kepada negara ku Malaysia?
Mungkin bagi mereka yang masih belajar, sumbangan mereka adalah kemahiran dan kepakaran yang mereka perolehi daripada pendidikan menjadi  sumbangan yang bakal mereka berikan kepada negara. Dan bagi mereka yang bekerja baik dengan kerajaan mahupun dengan swasta, masing-masing rasanya akan mengatakan khidmat dan bakti setia mereka yang menyumbang kepada negara ku Malaysia. Bagi  mereka rakyat biasa pula, sumbangannya mungkin berupa jasa bakti kepada tanah, air dan mungkin udara yang dimiliki di negara kita adalah satu cara membalas jasa kemakmuran negara kita Malaysia ini.

Bagaimana dengan ketidakadilan sosial kita...

Seperti ada kepincangan berlaku apabila bercakap tentang ketidakadilan sosial di negara kita. Sebagai contoh, kenapa mesti ada orang yang miskin tegar di dalam masyarakat kita. Yang hidup cukup-cukup makan sahaja. Sedangkan yang kaya semakin kaya- raya. Seakan- akan ada sesuatu yang tidak "ngam " dalam sistem pengagihan hasil di negara kita. Kita beria-ria cuba menghapuskan pengemis jalanan untuk memastikan bandar kita bersih daripada peminta-peminta sedekah ini dan menjaga imej negara "membangun". Tetapi, tahukah bahwa apa yang para pengemis ini lakukan bukan kerana kehendak mereka, tetapi mereka wujud "MUNGKIN" kerana kepincangan sistem aliran pendapatan negara yang tidak kesampaian kepada mereka yang serba kekurangan ini?

Bagaimana dengan keadaan Politik yang kita impikan...

Bila bercakap pasal politik, berapa ramaikah dari kalangan kita yang mengambil berat untuk menyatakan pendirian kita di atas kertas undi? Atau cakap-cakap angin sahaja dalam saluran internet. Kenapa masih ramai lagi rakyat kita Malaysia yang sudah layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi. Ini adalah satu contoh sikap "ada ku kisah" atau tak ambil peduli sebagai seorang rakyat Malaysia.
Kalau mahu melihat keadaan politik yang kita impikan, daftar lah sebagai pengundi yang sah dan dengan itu undi anda dapat mewakili suara anda dan pemimpin yang kita mahu akan mewakili suara kita suatu hari nanti.

Bagaimana dengan Masalah-masalah sosial masyarakat kita...

Apa pendirian kita sebagai rakyat Malaysia apabila mendengar ada bayi yang di buang...ada kanak-kanak didera...ada keganasan berlaku terhadap wanita...pembunuhan kejam di sana-sini...lagi-lagi rogol-Lagi-lagi rogol...
adakah kita mengambil sikap "ada ku kisah?"...
Sesamamu dapat rasakan bahawa...Mungkin satu perbuatan yang mudah yang kita boleh lakukan ialah mengambil kisah dan peka terhadap masalah-masalah ini. Ambil berat bukan bermaksud menjaga tepi kain orang, tetapi kita "prihatin" terhadap apa yang berlaku disekeliling kita. Menjadi mata dan telinga mahupun perasaan rakyat Malaysia...
Dengan mengambil peduli, kita sebenarnya juga menyumbang kepada kemakmuran negara kita...

Bagaimana dengan bumi yang kita tumpangi ini...

Zainal Abidin  dalam lagu "HIJAU" menyatakan keadaan yang berlaku sekarang dan masa yang akan datang terhadap bumi kita jika kita mengambil  sifat "ada ku kisah?" terhadapnya.
Kenapa mesti kita terus lena dibuai mimpi dan tidak melihat apa yang kita telah lakukan kepada alam semesta kita?
Ini lah masanya kita menyumbang sesuatu kepada negara kita dengan mengambil berat tentang apa yang berlaku kepada alam flora dan fauna di negara kita. Banyak perkara-perkara kecil yang kita boleh lakukan secara langsung dapat menyumbang kepada kesejahteraan bumi di negara kita ini.  Bak kata Nabil Raja Lawak..."lu fikirlah sendiri..." bermaksud 1001 cara kita boleh selamatkan bumi yang kian pudar ini...

Menjadi  manusia yang "aku kisah..."

Kalau kepentingan diri didahulukan, inilah lah yang bakal yang terjadi kepada kita. Iaitu menjadi manusia yang "ada ku kisah?" ataupun tidak mahu ambil peduli tentang apa yang berlaku dipersekitarannya. Bagi manusia jenis ini, mereka hanya tahu menyumbangkan bakti mereka kepada negara dengan bersyarat. Jauh sekali mereka mahu menyumbang sesuatu kepada negara nya Malaysia dengan percuma mahupun sukarela. Lebih buruk lagi, mereka hanya tahu membidas, mencemoh, mengata, memfitnah kerajaan mahupun seseorang pemimpin itu. Ini adalah tabiat yang lahir daripada manusia yang ada kepentingan diri didalam segala perkara yang dilakukannya...
Katakan TIDAK kepada pemikiran "ada ku kisah?" 

Mari kita menjadi masyarakat Malaysia yang tahu ambil kisah...tahu katakan "aku kisah" kepada apa yang berlaku dipersekitaran kita kerana sikap inilah yang akan menyumbang kepada kemakmuran negara kita Malaysia...

SELAMAT HARI MALAYSIA YANG KE 47 TAHUN

Sunday, September 12, 2010

Saya Bangsa Malaysia. Kamu pula?

Dari bulan Febuari hingga April 1962, suruhanjaya Cobbold yang dianggotai oleh Lord Cobbold, Dato' Wong Pow Nee, En Mohd. Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston telah membuat peninjauan tentang gagasan pembentukan Malaysia diantara penduduk dan wakil-wakil rakyat tempatan Sarawak serta Borneo Utara (Sabah) ketika itu. Suruhanjaya ini telah menemui 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-parti politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan kerja dan orang ramai yang memberi pandangan.
Pada 21 Jun 1962- Laporan ini diserahkan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Dan pada Julai 1963, Tunku abdul Rahman dan Harold Macmillan-Perdana menteri British pada ketika itu telah mengadakan perundingan yang berlangsung selama 2 minggu di London.Akhirnya perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 oleh wakil-wakil Kerajaan British, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah , Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963, walau bagaimanapun, tarikh tersebut terpaksa ditangguh kerana laporan setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.
Di atas adalah secara ringkas satu peritiwa yang bersejarah bagi negara kita Malaysia.


Apa ertinya Penubuhan ini?
Mungkin satu persoalan bagi generasi sekarang yang kurang pengetahuannya tentang bagaimana terbentuknya Malaysia dan mengapa? Pemimpin-pemimpin yang terdahulu telah bersetuju dengan cadangan pembentukan Malaysia. Dan pembentukan Malaysia ini akan terjadi setelah Sarawak, Sabah dan Singapura bersetuju dengan gagasan Malaysia yang terdiri daripada 4 wilayah terpenting itu. Pembentukan ini secara langsung telah memerdekakan ke-3 wilayah yang baru itu walaupun Singapura telah keluar daripada gagasan tersebut 2 tahun kemudiannya. Dengan demikian, terbentuknya Malaysia, menjadikan rakyat di kesemua wilayah ini akan bersatu di dalam segi ekonomi, sosial dan politik. Bererti satu kejayaan yang besar untuk setiap lapisan masyarakat di negara yang bernama Malaysia menikmatikan erti kemerdekaan di bawah satu nama iaitu MALAYSIA.

Bangsa Malaysia...
Satu negara - satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Mungkin konsep ini keterlaluan kerana fikiran kita sudah sekian lama ditanam rasa "Bangga" yang teramat sangat dengan bangsa atau keturunan akar umbi kita. Tidak salah untuk kita bangga dengan keturunan bangsa asal-usul kita tetapi sesudah sekian lama kita hidup bersatu di bawah satu nama -Malaysia, sepatutnya kita bangga menyatakan kita -BANGSA MALAYSIA sesudah itu barulah kita menyatakan keturunan asal-usul kita.

Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Walaupun sudah menjadi negara Malaysia yang berdaulat selama 47 tahun, kebanyakan kita masih lagi ditakuk pemikiran yang "mengutamakan" keturunan bangsa kita sendiri.
Sepatutnya Identiti Bangsa Malaysia menjadi kebanggaan kita. Ia mewakili satu identiti bangsa yang hidup muhibah dengan mengenepikan perbezaan yang ada dan kepentingan diri mahupun latar belakang kaum tertentu. Bukan bermaksud kita lupa akan asal-usul sebenar kita, tetapi "Bangga" dengan identiti yang melambangkan satu Negara yang "Berdaulat" bernama MALAYSIA.

Parti politik Perkauman - berpuak-puak...
Sistem Politik negara kita dimana berdasarkan parti Politik mengikut kaum mungkin penyumbang kepada gagalnya kita membentuk identiti Bangsa Malaysia. Kebanyakan parti Politik yang memerintah adalah berlatar belakangkan parti yang bersifat Perkauman. Mengapa sesamamu mengatakan nya bersifat perkauman? Ini kerana masing-masing akan cuba memperkasakan bangsa mereka sendiri dahulu sebelum bangsa Malaysia. Jadi, parti-parti politik yang bersifat kaum ini akan sedaya upaya memelihara kepentingan mereka terlebih dahulu. Ini menyebabkan impian melahirkan masyarakat Bangsa Malaysia ini terlau jauh dari matlamatnya.
Negara jiran kita Indonesia telah berjaya mencapai tujuan ini kerana di mana sahaja kita berjumpa dengan warga Indonesia, mereka dengan bangganya akan menyatakan mereka adalah "Bangsa Indonesia" dan seterusnya kalau di tanya lagi, baru mereka perkenalkan keturunan asal mereka. Sebagai contoh, sesamamu pernah bersama beberapa pelajar dari Indonesia yang berketuruna Cina. Sepanjang bersama-sama dengan mereka, sesamamu dapat rasakan suatu yang pelik berlaku diantara mereka. Walaupun mereka berketurunan Cina, mereka bercakap sesama mereka dengan menggunakan bahasa Indonesia. Apabila sesamamu bertanya kepada mereka kenapa mereka tidak menggunakan bahasa Ibunda mereka-Bahasa Cina, dengan "Bangga" nya mereka menjawab..."Kami bangsa Indonesia dan bahasa kami adalah bahasa Indonesia"... Jadi ini adalah hasil kempimpinan yang terdahulu yang melihat betapa identiti Bangsa sesbuah negara itu akan menentukan keperkasaan sesebuah negara yang merdeka itu kelak.

Masih ada sinar...untuk Bangsa Malaysia?
Sinar itu ada kalau kita sebagai rakyat Malaysia bangga untuk memiliki identiti Bangsa Malaysia dan mengenepikan kepentingan diri kita sendiri atau kepentingan kaum-kaum tertentu sahaja. Ada baiknya suatu hari nanti parti-parti Politik yang ada di Malaysia tidak mengamalkan Parti Politik berdasarkan kaum sahaja tetapi melihat penyatuan rakyat yang penuh dengan kepelbagaian ini.

Selamat menyambut hari Malysia yang ke 47  tahun. Mari kita generasi muda sama-sama menghayati erti Pembentukan Malaysia ini untuk kita "bangga" menyatakan "SAYA ANAK BANGSA MALAYSIA".

Renungkan perjuangan mereka yang terdahulu...

Monday, September 6, 2010

MERDEKA...tapi Ngapa masih ada benci?

"Hendaklah kamu saling mengasihi sebagai saudara dan saling mendahului dalam memberi hormat".Salah satu pesan Paulus kepada mereka di Roma pada ketika itu (Roma 12:10)

Saling mengasihi sebagai saudara...
Paulus merujuk kepada mereka yang sudah percaya kepada Tuhan Yesus untuk saling mengasihi bukan sahaja kepada saudara seiman mereka sahaja tetapi orang yang disekitar mereka juga. Dalam erti kata yang lain, mereka yang bukan seiman dengan mereka. Dan Paulus menekankan bahawa kasih yang ditunjukkan itu mestilah ikhlas dari hati nurani. Kalau boleh, kasih itu seperti kasih kepada ahli keluarga sendiri atau saudara sendiri.
Tetapi, kalau kita lihat sekarang ini, media-media tempatan - elektronik mahupun media cetak banyak melaporkan kenyataan-kenyataan sesetengah individu yang tidak bertanggung jawab yang cuba mempengaruhi masyarakat kita  dengan isu-isu yang akan menimbulkan rasa benci terhadap satu-satu kelompok masyarakat kita yang sedia berbilang ini.
Sebagai contoh, kenyataan-kenyataan yang menghina agama, kenyataan yang rasis dan kenyataan atau komen yang palsu yang didedahkan melalui internet mahupun media massa yang lain. Ia menunjukkan betapa kita sebenarnya belum lagi bebas ataupun merdeka sepenuhnya. Ngapa harus ada benci?

Jauh daripada erti merdeka...
Rasa hasad dengki sesama kita ini telah menjajah keperibadian rakyat kita sendiri dan lama kelamaan ini akan membuahkan satu malapetaka yang tidak kita ingini seperti yang pernah berlaku di  Negara kita pada. Kita sedia maklum perkara itu berlaku kerana adanya perasaan benci terhadap satu sama lain apatah lagi telah diapi-apikan oleh "mereka-mereka" yang berpentingan "politik".
Bercakap tentang politik, sebenarnya pemimpin-pemimpin kita sekarang ini seharusnya memainkan peranan yang penting untuk TIDAK menimbulkan atau politikkan isu-isu yang menimbulkan ketidak  puasan hati dikalangan rakyat Malaysia yang penuh dengan warna-warni kepelbagaian nya. Sepatutnya, "mereka-mereka" ini memberi maklumat yang betul kepada rakyat yang memberi mandat kepada mereka.
Kalau perasaan saling membenci itu terus dipolitikkan, alamatnya kita sebenarnya terlalu jauh daripada erti kemerdekaan sebenar selepas 53 tahun.

HORMAT orang lain menjadi keutamaan
Sesamamu sangat tertarik dengan nasihat Paulus ini dimana dia menekankan betapa rasa hormat terhadap orang lain mengatasi kepentingan diri sendiri. Ini adalah satu contoh bahawa Paulus tahu kalau kita saling hormat menghormati maka masyarakat yang pelbagai ini akan hidup dengan aman damai. Dan rasa hormat kepada orang lain ini adalah didorong oleh sikap merendahkan diri seseorang itu terhadap orang yang lain. Kalau tidak ada rasa rendah diri maka seseorang itu tidak akan menghormati orang lain dan memberi keutamaan kepada kepentingan orang lain terlebih dahulu.
Rasa HORMAT inilah juga yang telah hilang daripada kita sekarang ini. Kita saling mempertahankan kepentingan peribadi mahupun kumpulan kita sahaja. Sehinggakan kita tidak mahu ambil peduli ataupun kisah tentang kepentingan orang lain. Apatah lagi "perasaan" orang lain? Apabila perasaan tidak menghormati ini bertakhta dihati kita, lama-kelamaan ia akan menjajah pemikiran kita seterusnya menjadi satu "ideologi" yang akan kita pegang. Ini menyebabkan lahirlah satu pemikiran yang "defensive" terhadap kepentingan kita atau kumpulan kita yang harus diutamakan atau dijaga. Tetapi tanpa kita sedar, ini telah menjauhkan kita dari erti kemerdekaan yang sebenar selepas 53 tahun...

Ngapa harus ada benci?
Sesamamu dapat rasakan soalan ini harus ditujukan kepada kita sebagai rakyat Malaysia yang menyambut kemerdekaan yang ke 53 dan bakal meraikan pembentukan Malaysia yang ke 47 pada tahun ini. Marilah kita saling mengasihi seperti saudara dan saling menghornati didalam kepelbagaian kita ini. Sesamamu pasti kepelbagaian kita ini adalah satu "anugerah" yang teristimewa yang Tuhan berikan kepada setiap rakyat Malaysia. Dan kepelbagaian kita ini sepatutnya membuat kita saling memperlengkapi antara satu sama lain.

Untuk Pemimpin ku...
Mari kita doakan para pemimpin yang kita pilih untuk mewakili suara kita semua supaya melalui merekalah kita akan saling mengasihi dan hormat-menghormati.

Untuk Media massa...
Buat media massa cetak mahupun elektronik, mari bersikap jujur dan bertanggunng jawab. Jangan mulakan api kebencian dengan kenyataan dan laporan yang tidak benar. Ambil pengajaran daripada media asing yang cuba memburukkan imej negara kita di luar sana sehingga mereka membenci kepada negara kita Malaysia yang berdaulat ini.

Akhir sekali, buat kita semua, mari kita sama-sama robohkan tembok kebencian itu dan mula membina jambatan kasih sesama kita bangsa Malaysia ini...MERDEKA-MERDEKA-MERDEKA!!!

Selamat hari Raya Aidilfitri bagi rakan-rakan Muslim...