sesamamu

Tuesday, December 2, 2014

Bantah Baram Dam! ---siapa sokong? identiti hilang!

Kebelakangan ini, bantahan cadangan pembinaan sebuah lagi empangan di Baram mendapat bantahan dari banyak pihak terutamanya penduduk yang trlibat secara langsung dengan cadangan pembinaan empangan ini di tempat kediaman mereka.

Tetapi yang menyedihkan ialah, apabila wakil wakil rakyat malah ketua masyarakat yang sepatutnya menolong  orang-orang mereka seakan-akan menjadi duri dalam daging tehadap mereka yang membantah cadangan pembinaan empangan ini. Malah, bagi mereka yang membantah akan dilabelkan sebagai menolak pembangunan serta dikaitkan dengan dengan propaganda "pembangkang".

Hilangnya identiti...

Bagi pemimpin yang loba dan gila kuasa, tanahair sanggup digadai demi mempertahankan apa yang mereka miliki. Tidak hairan lah pelbagai tipu helah digunakan untuk menyatakan sokongan akan pembinaan empangan ini. Tanahair ataupun Tanah dan Air mereka sanggup digadaikan! ditenggelami! demi nama pembangunan kononnya! dan bagi mereka yang membantah dikatakan menolak pembangunan!

Apakah eri sebuah pembangunan dimana tanah nenek moyang kita, tempat dimana bermulanya sebuah komuniti yang penuh dengan harga diri dan adat yang tinggi suatu hari nanti akan hilang ditenggelami. Tanah-Air-Hutan adalah sinonim dengan identiti masyarakat peribumi yang penuh dengan adat dan resam.

Tidak sedarkah para ketua dan wakil rakyat ini bahawa tanah yang bakal mereka gadaikan itu adalah temlat besemadinya nenek moyang mereka yang bejuang demi sebuah masyarakat yang penuh dengan adat dan resam yang tinggi? Sampai hati mereka mengenepikan identiti mereka demi pemimpin yang rakus dan tidak behati perut ini?!

Generasi penerus...

Kita tidak boleh terus menerus bangga dengan masa lampai kita jika ingin melihat geneasi sekarang terus ingat akan asal usul serta adat resam mereka. Untuk mengetahui betapa kukuhnya adt resam sesuatu kaum, ianya hanya dapat kita lihat dengan lahirnya sebuah rakyat yang masih mengekalkan identiti mereka. Iaitu, TANAHAIR nya!  Jadi, kalau ianya sudah tenggelam!, maka hilanglah identiti dan tiadalah generasi penerus itu!

Kelangsungan generasi penerus kita harus diutamakan, bukannya pembangunan yang tidak seimbang yang hanya tahu untuk merampas apa yang kita miliki sekian lama.

Oleh yang demikian, buat mereka yang menyokong cadangan pembinaan empangan Baram, jika kuasa dan wang menjadi taruhanmu, amat malang dan durjana perbuatanmu kepada generasi masa depan. Kerana, kalian semua sudah menjual identiti mereka begitu sahaja.

Dan buat pejuang "STOP BARAM DAM!", Terima kasih kerana peduli dengan suara geneasi penerus kita! Perjuangan kalian bukan sia-sia demi identiti bangsa!

Wednesday, October 8, 2014

Pemandangan tercemar "Matang Family Park"

Apa yang Sesamamu maksudkan disini ialah, kebanyakan kita hanya tahu menggunakan sesuatu benda itu, selepas pakai, dibuang begitu sahaja. Terutama hal berkaitan penjagaan serta pemuliharaan alam semulajadi ini.
Kita hanya tahu menikmati dan mengggunakan apa yang ditawarkan kepada kita oleh alam semulajadi ini.

Pada cuti hujung minggu yang lepas, Sesamamu berkesempatan melawat sebuah taman rekreasi di Matang, iaitu "Matang Family Park", dimana pada waktu yang sama ramai juga  orang mengambil kesempatan untuk beriadah sambil menikmati kedinginan Sungai Cina (Nama diberi) yang mengalir ditengah-tengah taman hutan rimba ini. RM4 bayaran dikenakan untuk memasuki kawasan hutan simpan ini. Tetapi melangkah asuk sahaja ke kawasan rekreasi ini, satu pemandangan yang amat mengecewakan, sampah sarap, plastik bekas makanan ataupun keropok, botol-botol plastik, tin-tin dimerata-rata tempat, terutama sekali di sekitar tebing-tebing Sungai dan tidak kurangnya yang "tertanam" di dasar sungai.

Oh tidak!!!
( sampah yang dikutip sekitar tebingan sungai "kolam" didepan itu)



Respon pertama Sesamamu setelah menyaksikan pemandangan ini ialah, "Oh tidak!", Sungai yang masih mengalir deras dan jernih ini dicemari dengan satu pemandangan yang tidak bretemadun oleh segolongan pelawat Taman Rekreasi ini.Sebagai manusia, Sesamamu sangat malu melihat kesan-kesan yang mengaibkan peninggalan manusia yang tidak perihatin langsung tentang alam semulajadi. Hanya mementingkan diri sendiri, memuaskan keinginan diri yang mengatasi panggilan untuk menjaga serta memuliharakan alam semulajadi ini!

Tidak kurangnya, kawasan-kawasan "BBQ" dipenuhi dengan "langau" sejenis lalat yang besar berterbangan mengganggu kita yang mahu menikmati hasil "BBQ" tadi, malah lenguh tangan menghalau langau-langau ini yang juga dalam misinya cuba mencemari makanan yang kita panggang. Ini adalah manifestasi betapa kotornya kawasan "BBQ" yang ditinggalkan oleh mereka yang tahu "pakai dan buang" selepas menggunakan kawasan "BBQ" tersebut. Sungguh tidak ambil kisah!

Sungai terakhir!
Jika Sungai yang ada ditengah-tengah hutan "Matang Family Park " adalah sungai yang terakhir yang masih wujud di Kuching, dan dengan sikap yang tidak kisah terhadap memuliharakan sungai ini, Sesamamu berpendapat, suatu hari nanti, sungai ini akan menjadi longkang longgokan sampah -sarap!. Apa tidaknya, sekarang sudah sampah-sarap ada disekitar tebingan sungai malah di dasar sungai yang tiada jemu memberi khidmatnya kepda mereka yang ingin merasakan kedinginan airnya dan melepaskan rasa lelah dibadan yang kesegarannya ditawarkan oleh alam semulajadi ini.
Ya, sungguh malang, jika ini adalah sungai yang terakhir...terutama bagi generasi yang akan mendatang!

Jom Bertindak!
Bagi siapa-siapa yang datang melawat ataupun beriadah di "Matang Family Park", tolong-tolong ringankan tangan untuk mengutip sampah sarap yang ditinggalkan oleh manusia separa temadun ini. Kalau bukan kamu, siapa lagi? Jangan sampai terlambat, sungai ini akan menjadi LONGKANG besar untuk anak-anak kita mandi manda suatu hari nanti!

Friday, August 15, 2014

Setiap kali terbang...aku ingat kamu.

Tragedi yang menimpa MH17 masih lagi segar dan sentiasa bermain difikiran. Setiap kali Sesamamu menaiki pesawat, setiap kali melihat juruterbang pesawat, Sesamamu teringat akan nasib malang yang menimpa mereka.
Setiap kali melihat gerak geri pramugari/pramugara pesawat, Sesamamu menangis sayu mengenangkan nasib mereka ini yang tiada dosa dan silap yang menjadi mangsa keadaan.
Setiap kali mendengar tangisan si bayi dan ketawa riang anak-anak kecil didalam pesawat, Sesamamu terkenangkan nasib mereka yang sudah pasti menjadi tangisan dan tawa riang yang terakhir didalam peswat malang ini.
Setiap kali melihat penumpang yang duduk dikedua-dua sisi, depan dan belakang. Ya, mereka bukanlah orang yang Sesamamu kenali, tetapi terasa seakan Sesamamu bersama mereka yang didalam pesawat malang itu. Dalam hati, penuh dengan harapan untuk bertemu dengan yang tercinta setiba kelak. Tetapi...

Dan setiap kali pesawat ynag Sesamamu sampai dan mendarat dengan selamat, terkenang Sesamamu keluarga dan orang yang tersayang pesawat malang MH17 ini yang menanti akan ketibaan mereka . Tetapi...

Aku ingat kamu...

Setiap kali melihat pesawat berlepas, datang dan pergi...Sesamamu akan terus mengingati MH17 bah kan MH370...
Setiap kali berada didalam mana-mana pesawat, Sesamamu merasa begitu dekat kepada mereka. Terasa tangis tawa mereka, dan saat-saat genting sebelum malapetaka ini menimpa keatas mereka.
Setiap kali mengenangkan akan hal ini, Sesamamu bertanya, "Apakah didalam benak fikiran dan terkubur didalam hati masing-masing mereka pada ssat akhir hidup itu?"
Setiap kali Sesamamu melihat apa yang berlaku ini, "Masih kah aku akan memanggil DIA saat-saat terakhir itu?"

Tetapi setiap kali aku melihat ke langit biru...dalam hati kecil ku berkata "AKU INGAT KAMU".

bersemadilah dengan aman...MH17 dan MH370...AKU INGAT KAMU

Friday, July 11, 2014

Saya kata "Stop chopping the trees" juga bermaksud...

Apabila saya kata "Stop chopping the trees" ataupun "berhenti tebang pokok" bukan hanya bermaksud tidak boleh potong pokok semata-mata. Tetapi ia lebih daripada itu.

"STOP CHOPPING THE TREES juga bermaksud...

1. Kurangkan penggunaan kertas ataupun kertas tisu. Kalau kamu asyik bertisu setiap kali melakukan aktiviti ataupun dikedai makan, kamu seakan akan menyumbang kepada penebangan pokok itu dengan tanpa kamu sedar.

2. Jangan membazir makanan. Terutama kalau pergi ke kedai makanan segera. Proses pengeluaran makanan segera ini dari reban ayam hingga ke restauran makanan segera menuntut banyak tenaga dan gas karbon dikosida dilepaskan. Kalau pokok dah kena tebang, siapa yang akan menyerap gas CO2 ni?

3. Bersederhana dalam segala hal. Selain kita melihat kemampuan kita, perhatikan juga akan kehendak alam yang kian pudar ini. Ketahuilah, oleh kerana sikap kebendaan yang sangat tinggi ini telah menyumbang kepada pengusaha yang tanpa henti memerah keringat bumi ini sehingga kering. Ini semua demi memenuhi kehendak manusia yang kian meningkat tetapi bumi tidak pernah berhenti seketika pun memberi!

4. Berjimat cermat menggunakan tenaga elektrik. Sumber tenaga elektrik ini kebanyakannya hasil daripada empangan yang besar yang menenggelami beratus km persegi hutan ataupun pokok. Dengan berjimat, kita dapat memberi bumi ini ruang untuk bernafas.

Dan banyak lagi senarai semak yang kita dapat buat asalkan kita fahami erti dan maksud "STOP CHOPPING THE TREES" ini.
Apakah senarai semak anda pula???

Thursday, June 5, 2014

kejap HARAM, kejap HALAL! Pening lah!

Benar, bak kata "punch line" Suib Sepahtuh di Maharaja Lawak Mega 2013, PENINGLAH!.

Sesamamu sebagai rakyat Malaysia yang bukan Islam merasakan isu ini semakin PENINGLAH!
Tidak tahu bagi rakan Muslim kita, adakah isu ini juga membuat mereka PENINGLAH!
Apa tidaknya, Jakim dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan satu kenyataan yang berbeza dengan hasil kajian mereka terhadap coklat Cudbary ini. Hingga menyebabkan beberapa NGO yang menjaga hak dan keadaulatan agama Islam bersuara dengan membuat laporan Polis supaya siasatan dijalankan keatas kedua pihak yang bertanggung jawab ini.

Halal dan Haram sangat penting

Bagi rakan rakan Muslim kita, Halal dan haram satu-satu makanan adalah sangat penting. Oleh yang demikian, kebenaran tentang Halal dan haramnya sesuatu produk makanan jenama terkenal seperi coklat ini adalah amat dititik beratkan akan kesahihannya.
Kerana ia melibatkan kesucian sesuatu makanan yang akan diambil oleh penganut agama Islam ini. Dan Sesamamu percaya, kedua pihak yang bertanggung jawab amat arif dalam hal ini, tetapi jangan sampai setiap keputusan dan hasil kajian bercanggah seperti yang berlaku sekarang ini.

Bak kata pendapat Presiden PERKASA, "Malaysia menjadi bahan jenaka orang luar."

Sejurus dikeluarkan loporan(bocor maklumat tu) menyatakan coklat ini mengandungi DNA babi, heboh satu Malaysia, sehingga ada yang ,inta ganti rugi untuk menukar darah semua yang termakan coklat ini, tidak kurangnya yang ingin menyaman pengeluar coklat ini.

Mungkin ini yang dimaksudkan si presiden PERKASA itu?

Belajar dari kesilapan ini...

Sebagai rakyat Malaysia dan teman bagi ramai rakan Muslim, Sesamamu pasti, isu ini dapat ditangani dengan bijak oleh semua rakan-rakan Muslim diluar sana. Belajar dari kesilapan ini, dan renungkan kembali, kenapa yang maha esa benarkan kita melalui akan hal Halal dan Haram ini.
Mungkinkah Dia ingin menyatakan kepada kita, "perhatikan juga apa yang keluar dari mulut kita, segala dusta, fitnah, cacian, kata-kata kesat dan kotor, tidak kurang pentingnya, samada yang keluar itu juga Halal mahupun Haram. Perhatikan hal ini juga. Termasuk semua rakyat Malaysia tak kira latar belakang pegangan agama mu.

Salam kasih dan damai sejahtera

Panda di zoo di"aircond"kan, Orang Utan di halaman sendiri dipotong pokoknya...

5 haribulan Jun setiap tahun adalah sambutan HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA. Ia disambut untuk mengingatkan kita tentang betaa pentingnya penjagaan alam sekitar daripada penyalah gunaan sumber alam ini oleh pihak pihak tertentu demi dan atas nama pembangunan.

Panda di zao di"aircond"kan...

Dengan dua ekor panda yang dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia baru-baru ini telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir rakyat Malaysia. Ada yang berpendapat ini adalah satu usaha dilpomatik kerajaan Malaysia-China yang seia sia. Perbelanjan yang dianggarkan berjuta-juta ini menimbulkan rasa tidak senang rakyat Malaysia.

Sempena HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA hari ini, Sesamamu cuba becakap mewakili Orang Utan yang ada di negara kita teutamanya yang masih ada di Sarawak.
Jikalah Orang Utan ini boleh bekata-kata, Sesamamu pasti, ia juga akan mengeluh dengan tindakan kerajaan Malaysia membawa masuk atau dalam ertikata lain, meminjam dua ekor panda ini.

Sudah pasti Orang Utan ini akan berkata, "hutan ataupun rumah saya yang sudah habis ditebang tu lah yang belanja si panda tu senang-senang diam dalam aircond."

Orang itu ini juga akan memberitahu si Panda-panda ini, " kamu tengok, dari Utara ke Selatan, dari Barat ke Timor Sarawak, hutan saya sudah jadi hutan pokok kelapa sawit, hasilnya pun belanja kamu dua ni diam di Malaysia ini. Saya, mana mau tinggal?"

Ini mungkin keluhan si Orang Utan ini, kalau lah ia pandai bekata-kata.

Siapa pandai berkata-kata?

Jadi, manusia lah makhluk ciptaan Tuhan yang boleh berkata-kata. Oleh kerana kita manusia boleh berkata-kata, kenapa tidaknya sempena HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA ini kita berkata-kata bagi bumi, alam, kehidupan serta tumbuhan yang tidak bisa berkata-kata ini.

Bersuara  demi menegakkan keadilan bagi ALAM SEKITAR ini daripada terus dinodai oleh manusia yang tidak pernah puas ini!

Oh ya, si panda juga mahu meluahkan perasaannya, " Wahai Malaysia, betapa senang dan selesanya saya di negara asal serta habitat sebenar saya. Adapun udara sejuk didalam zoo kamu ni, hanyalah udara "penyaman udara" yang tidak semulajadi pun. Kembalikan saya ke tempat asal saya!.

Jadi sempana HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA INI, si panda dan Orang Utan ingin mengucapkan, "KEADILAN DAN KEDAMAIAN untuk habitat kami!"

Monday, May 19, 2014

Dyana Sofya...masih ada harapan untuk TRANSFOMASI???

Kerajaan 1Malaysia pimpinan komponen Barisan Nasional selalu menekankan slogan Transformasi ataupun perubahan didalam mana-mana persidangan agung parti mereka. Malah slogan 1Malaysia sehingga menunjukkan jari telunjuk setiap kali perhimpunan ataupun bergambar bersama-sama anak-anak muda menjadi trand yang tidak boleh dipisahkan daripada mereka. Perhimpunan anak-anak muda anjuran mereka sungguh semangta mengatakan "anak muda adalah harapan bangsa dan negara!".

Tetapi malangnya, apabila menjadikan slogan itu satu kenyataan dan realiti, amat sukur untuk diterjemahkan. Cuba lihat berapa anak muda BN yang benar-benar muda dan menjadi pemimpin golongan muda yang sejati?

Fenomena Dyana Sofea...

Perkauman dan sentimen benci membenci ini sudah lama bertapak di negara kita oleh kerana parti politik kerajaan kita yang menjurus kepada parti berpihak menjaga kepentingan kaum.
Tetapi PR dibawah DAP di kawasan Parlimen Teluk Intan telah memberikan satu harapan yang baru. Harapan yang selama ini sekian malap untuk peluang anak-anak muda diberi kesempatan untuk menjadi pemimpin golongan mereka dan bangsa serta negara ini. Dyana Sofea tidak perlu menunggu lama sehingga menjangkau lewat 40an untuk menjadi pemimpin, teta[i DAP telah memberi kesempatan kepadanya untuk meneruskan perjuangannya diperingkat nasional.

Bukan itu sahaja, kawasan yang selama ini didominasikan oleh kaum Cina selama 2 penggal, telah membuka satu lambaran baru kepada sikap keterbukaan polisis politik pelbagai kaum DAP. Wow!, satu percubaan yang berani dan keluar daripada kepompong kebiasaan parti-parti politik yang bersifat perkauman oleh kerajaan BN.

Masih ada harapan...

Tidak keterlaluan Sesamamu ingin menyatakan disini, masih ada harapan untuk golongan muda dinegara kita untuk memimpin. Baik organisasi politik, persatuan, agama mahupun ditempat pekerjaan. Tidak perlu tunggu seseorang itu berumur, baru diberi tanggung jawab yang besar untuk memimpin.

Begitu juga, masih ada harapan untuk sifat dan sikap perkauman dipinggirkan daripada masyarakat kita pada ketika ini. Segala sifat kebencian yang selama ini yang telah tertanam hasil daripada parti-parti politik yang berfisat kepentingan kaum ini ada harapan untuk golongan muda masa ini lupakan.

Untuk Dyana Sofya...doakan terbaik dan kemenangan dipahak anda.

Sunday, May 11, 2014

Hujan emas di tempat orang hujan "hasutan kebencian" di tempat sendiri

Malaysia oh Malaysia. Ungkapan pepatah tersebut sangat kena dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang.

10 hari di tempat orang, di negara luar, mendengar apa yang belaku di Malaysia, membuatkan keindahan dan segala pengalaman yang indah di negara orang menjadi lebih berharga, "hujan emas" yang menjadi satu kenangan yang amat berharga.

sekembali di Malaysia, dihujani dengan pelbagai hasutan kebencian, menyentuh hal hal yang sensitif dalam usaha menunjukkan kedaulatan yang mereka dalam satu-satu perkara. Akhirnya, Malaysia dihujani dengan sikap dan hasad dengki semata-mata.

Haruskah kebencian disemai demi menjaga kedaulatan mereka semata-mata kerana pada fikiran manusiawi yang selalunya ingin benar? Bukankah hanya Tuhan yang disembah itu yang menjadi hakim yang adil itu?

Dimana kita pergi, akan dibasahi hujan ini...

Hujan "hasutan kebencian" ini telah membasahi Malaysia, menyebabkan ia membasahi kestiap pelusuk kehidupan rakyat. Yang menjadi kekhuatiran kelak ialah, ia akan menenggelami Malaysia, maka lemas lah satu bangsa Malaysia dengan ketidak kesatuan itu. Slogan 1Malaysia ini sebenarnya telah menambah lagi bentuk hujan ini, asid yang menyerapi isi kandungan hujan itu.


Tuesday, April 29, 2014

Kolok Mee Sarawak istimewa di. dan dari Sarawak

Setiap kali makan di kopitiam, anak saya akan memesan Kolok Mee kosong. Kosong bemakna, tanpa daging, daun bawang, bawang goreng dan sebagainya. Kosong! Kalau adapun yang lain, dia akan memesan Kolok mee kosong merah atau kicap. Yang penting kosong.

Tetapi, walaupun kosong, rasanya tetap Kolok mee Sarawak yang istimewa itu. Apa yang membuat ia nya sangat isitimewa walaupun kosong? Dan, jika kita pergi keluar Sarawak dan sejauh Timor Leste (Sesamamu pernah makan Kolok mee di Timor Leste di restauran orang Sarawak) sekalipun, rasa Kolok Mee Sarawak tiada bandingnya. Tetap istimewa!
Walaupun diletakkan apa jenis dagingpun, kalau bukan Kolok mee Sarawak tulen, pasti tidak dapat menandingi akan keenakannya.

Antara rahsia utama Kolok mee Sarawak ini ialah, campuran minyak yang digunakan. Hanya di Sarawak, campuran minyak yang asli dan secocok dengan mee tesebut menjadikannya Kolok mee Sarawak yang istimewa walaupun KOSONG!

Sarawak Hak istimewa...

Apa yang Sesamamu mahu nyatakan dengan mengambil Kolok mee Sarawak sebagai metapor ialah, bagaimanapun orang mahu olahkan hak orang Sarawak. Mengalihkan hak mutlak Sarawak, adalah sangat sukar. Kerana ia telah termaktub serta sebati dengan kehidupan harian penduduknya.

Ia telah menjadi identiti mutlak dan telah menjadi yang istimewa walaupun cuba adaptasi ramuannya keluar.

Campuran budaya, adat resam dan kekayaan khazanah alam ini telah menjadi ramuan terbaik untuk membentuk satu identiti Sarawak ini. Jadi, usaha sesetengah pihak untuk untuk menambah kelainan kepada ramuan ini telah menyebabkan ia hilang hak istimewa tesebut. Malah, campuran yang asing ini menyebabkan identiti Sarawak itu mulai pudar dan menjadi kekhuatiran akan hilang suatu hari nanti. Malah ada yang berusaha menggantikannya atau memusnahkan ramuan yang asal itu!

Kekalkan keaslian itu

Jadi, sebagai rakyat asal Sarawak, mari kita sama-sama kekalkan keaslian yang ada. Lindungi ramuan yang tulen itu demi menjamin masa depan hak istimewa Sarawak untuk generasi yang akan datang.

Hindari dari mana-mana agenda yang hanya bermotivasikan keuntungan pihak-pihak tertentu.

Kolok me tetap hak istimewa hanya di Sarawak dan dari Sarawak!

Wednesday, April 16, 2014

"Aku pembawa HIV-AIDS..." Maka bermulalah sebuah penolakan

AL kisah, ada seorang ibu tunggal bersama anaknya yang masih kecil telah dipaksa keluar dari rumah sewanya atas alasan, ada yang sanggup membayar harga sewa yang lebih tinggi.

Ya, mungkin kedua anak beranak ini mempunyai rekod yang tidak sempurna pembayaran sewanya, tetapi kes "ada yang sanggup bayar sewa rumah dengan bayaran yang tinggi" hanya satu alasan tuan rumah STIGMA keatas mereka pembawa HIV-AIDS ini. Sesamamu pasti, dia mendapat tahu tentang keadaan sebenar ibu dan anak ini. Maka ini adalah satu cara menghalau yang sangat halus!

Okay, selesai tentang hal tuan rumah itu, sekarang penolakan terus berlaku terhadap anak beranak ini. Alasan demi alasan diberi, baik badan kerajaan mahupun NGO tempatan. Alasan yang yang sama, "kami tidak mempunyai pusat ataupun rumah untuk HIV-AIDS, tapi untuk pusat penyakit TB ada". AYOOO MACHA! HIV-AIDS hanya boleh dipindahkan dengan hubungan seks dan kalaupun kamu terminum 1 liter air liurnya sekaligus. Kamu peluk dia, makan semeja dengan dia,  TIDAK BERANGKITLAH! Pesakit TB lagi bahaya dan senang pindahkan TB tu dengan kamu. Kamu  pakai sudu dia pun kena o....

Apa kata pengikut Yesus?

Oh, sudah pasti ada yang berstigma yang sangat besar terhadap mereka ini. Seperti orang yang sakit kusta dalam ALKITAB tu, mereka ni pun ditolak ataupun tinggal di luar kota oleh kerana penyakit mereka ini. Zaman Yesus, orang sakit kusta ni tinggal dipinggir kota, dan golongan yang percaya TUHAN tu mengatakan ini adalah kutukan keatas dosa mereka.

Tetapi Yesus! dia sentuh! sembuhkan! orang yang ditolak ini!

Adakah golongan yang menyanyi dengan kuat dan berulang ulang korusnya setiap hari Ahad dengan band "pujian dan penyembahan"  melakukan apa yang mereka nyanyikan "ku mau seperti Mu Yesus..." mahu menyentuh? sembuh ataupun terima IBU DAN ANAK HIV-AIDS ini seadanya?

Sesamamu sedih dan khuatir di manakah kedua anak beranak ini akan berlindung dari kepanasan mentari dan kedinginan malam. Adakah pengikut Yesus yang sanggup membuka gereja ataupun pusat jagaan untuk orang seperti ini?
Adakah pengikut Yesus yang diberkati dengan berkelimpahan sanggup membuka rumah mereka ataupun mana mana premis yang berlebihan itu kepada anak beranak ini?

Adakah ruang dihati kita untuk orang yang senasib dengan anak beranak ini?
Mari, robohkan stigma kita terhadap mereka ini, dekati dan kenali mereka, untuk menjadi jawapan kepada doa mereka.

Wednesday, April 9, 2014

HACHIKO...Penantian satu penyiksaankah?

Pernahkah anda melihat wajah setiap orang yang mendapati masa pelepasan kapal terbangnya ditunda? Pernahkah anda melihat wajah mereka yang melihat jam tangannya menunjukkan bahawa bas yang seharusnya dia naiki pada masa tersebut telah melepasi masa yang sepatutnya? Pernahkah melihat wajah mereka yang beratur panjang menunggu giliran memesan makanan direstauran makanan segera ataupun menunggu pesanan yang begitu lama ditunggu setelah membuat pesanan?

Pernahkah anda melihat wajah gusar seorang ibu menunggu kepulangan anak yang tersayang dari sekolahnya? Ataupun melihat wajah gelisah seorang suami menunggu kelahiran bayi yang bakal dilahirkan daripada seorang isteri yang disayangi?

Wajah-wajah yang diatas menunjukkan reaksi yang berbeza dalam situasi penantian yang menguji kesabaran mereka. Wajah-wajah ini mengekpresikan raut yang sudah pastinya membawa hanya satu satu makna yang negatif, kesengsaraan!

Satu siksaan yang teramat sangat kerana apa yang ditunggu tunggu belum kunjung tiba.


Menguji kesabaran

Perubahan kepada raut wajah ini adalah respon kepada penantian yang menjadi satu kesiksaan, tubuh fizikal dan batin seseorang itu. Perubahan kepada raut wajah adalah rspon pertama satu penantian itu dan akhirnya akan menguji kesabaran kita. Jika kita hilang sabar, tindakan susulan kita sudah pasti yang lebih agresif baik dari kata-kata yang keluar dari mulut mahupun aksi tubuh badan kita.

Jika kita bertahan dan besabar, Sesamamu pasti bahawa kita akan menikmati satu harapan. Harapan kepada penantian yang penuh penyiksaan ini. Dalam erti kata lain, kesabaran kita ini bakal melahirkan satu harapan yang sudah pasti. Harapan kepada apa yang sepatutnya kita harapkan terjadi kepada kita.

Jadi, anggap penantian itu satu penyiksaan yang penuh dengan harapan yang lahir daripada kesabaran kita. Kerana diraut wajahmu terpancar satu sinaran. Sinaran yang memberi harapan itu:-)
Dan dengan harapan itu, kita akan mendampingi mereka yang memerlukan harapan dikala didalam penantian ini. Dalam apa perkara pun yang dinantikan.

Wednesday, March 26, 2014

"EARTH HOUR" 29 Mac 2014...mana-mana jak kao...

"Earth hour" adalah dicetuskan ataupun diilhamkan oleh pencipta alam dan bumi ini di Australia, pada tahun 2007 yang lalu dan hasil usaha sama WWF sehingga sekarang makin ramai negara didunia mengambil masa 1 jam setiap tahun pada tarikh ini akan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik pada tahap paling minima.

Tidak kurangnya banyak negara yang telibat mewajibkn mana-mana pusat membeli belah, bangunan-bangunan kerajaan begelap dalam masa yang ditetapkan.

BUMI REHAT 1 JAM

Ya, ada baiknya, setiap tahun selama sejam, bumi ini beeht sebentar daripada teus menyumbang kepada kelangsungan hidup manusia sejagat. Jadi dengan memberi ia BEREHAT buat sejam cuma ada baiknya daripada kita terus mengerah tenaganya, behempas pulas tanpa henti demi kita manusia yang tidak akan dioenuhi kepuasan kita.

"EARTH DAY"

Oleh kerana "earth hour", "Earth day" telah dicetuskan untuk meneruskan objektif memberi rehat kepada bumi ini, bukan hany sejm tetapi satu hari penuh. Diharamkan dengan perayaan memperingati akan bumi ini menjadi satu kempen kesedatan kepada manusia sejagat untuk sama-sama telibat memuliharakan bumi yang kian tenat ini.

"kalau bukan kita, siapa lagi?"

SELAMAT MENYAMBUT "EARTH HOUR", hari bumiku ini BEREHAT sejenak. Kumpul teman-teman, dimana pun dan apa pun aktiviti kalian, lakukan sesuatu untuk memberi bumi ini berehat sebentar...berbaloi:

Tuesday, March 25, 2014

Bersemadi sebuah pencarian...MH370

Pengumuman PM Malaysia akan perkembangan terkini pencarian MH370 sudah pasti menjadi satu berita yang paling sukra untuk diterima oleh rakyat Malaysia, apatah lagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang didalam pesawat ini, tidak dapat Sesamamu bayangkan, betapa berita ini pahit sekali untuk ditelan.

Malaysia pasti bersatu dibelakang tragedi ini. Ini dapat dibuktikan dengan tidak putus-putusnya rakyat besatu didalam #doauntuk MH370. Kita besatu mendorong dan terus berdoa untuk keluarga mereka yang terlibat. Sudah pasti sokongan kita amat diperlukan pada saat ini.

Segala spekulasi hanya teori

Mencari kotak hitam adalah menjadi keutamaan pencarian sekarang. Apapun spekulasi, pasti akan tepadam jua akhirnya setelah kotak hitam ini akan ditemui kelak. Sama-sama kita doakan agar proses pencarian ini berjalan dengan baiknya. Biar spekulasi ini akan tinggal satu teori dalam masa yang teedekat ini.

Kita sama-sama mendorong keluarga yang didalam kesedihan ini. Kita fahami akan kesedihan mereka kepada yang tesayang. Apa yang kita mampu berikan kepada mereka saat ini ialah, doa kita dan hentikan semua spekulasi mahupun teori serta komen-komen yang belum tentu ketentuaannya. Hanya Tuhan yang esa punyai jawapannya ketika ini. Apa yang harus kita lakukan ialah, bergandingan tangan bersatu hati melindungi keluarga ini dari beriti teori hasil daripada kebijaksanaan manusia yang ingin mengatasi kekuasaan Tuhan.

Doa buat keluarga MH370

Tuesday, March 18, 2014

DALAM PESAWAT YANG SAMA KE DESTINASI YANG SAMA...HANYA KUASA DOA

Sudah masuk hari yang ke 10 MH370 telah hilang dengan membawa telalu banyak persoalan sehingga ia dianggap misteri yang perlu diselesaikan. Malah sebarang penyebaran maklumat baik dari media massa perdana mahupun media sosial, akan menambahkan lagi persoalan demi persoalan akan kehilangan MH370 yang dinantikan akan kepulangannya oleh setaip lapisan masyarakat Malaysia mahupun dunia.

Bagi keluarga yang terlibat, kelibat terakhir orang yang tersayang sangat memilukan. Tetapi harapan terus dipanjantkan kepada yang Esa, walaupun dikala keseorangan, hati resah tetap menemani hari-hari mereka.

Doa menyatukan...

Rakyat Malaysi tidak mengira latar belakang mahupun perbezaan fahaman politik serta kepercayaan, bersatu hati memohon doa dan harapan kepada Tuhan yang satu. Satu fenomena yang sangat menarik belaku.

Kita seakan-akan ditarik satu magnet besar mendoakan tragedi mistei kehilangan MH370 ini. Islam, Buddha, Hindu, Kristian, datang begandingan besama mendoakan agar pesawat ini ditemui segera. Dari kanak-kanak kecil hingga ke orang dewasa, di sekolah-sekolah mahupun dijalanan kota, sekalung doa dan harapan dipanjantkan kepada Tuhan yang maha Esa. Jelas sekali kita bersatu dan mengakui kuasa doa orang yang besatu hati.

Dalam pesawat yang sama...

Kita seakan-akan didalam pesawat yang sama dan menuju ke destinasi yang sama, iaitu BERSATU DAN BERDOA KEPADA TUHAN. Ini adalah satu manifastasi akan kesatuan kita didalam kepelbagaian kita apabila didalam krisis yang sedemikian rupa.

Kita sebenarnya duduk bersama-sama didalam satu pesawat yang sama oleh kerana perbezaan yang menyatukan kita. Tuhan pasti membenarkan perbezaan ini ada untuk kita besatu dan ini membuktikan kepada dunia, walau apa pun yang menimpa Malaysia dan rakyatnya, kita akan besatu padu, duduk bersama dalam pesawat yang sama.

Jatuh bangun negara kita, sebenarnya begantung kepada kita sendiri. Dalam hal pencarian
pesawat ini, kita Rakyat Malaysia sebenarnya sama-sama turut seta didalam pesawat malang ini. Iaiti didalam kesatuan doa kita tanpa mengira perbezaan yang ada. Kudos Malaysia!

"Jangan memandang rendah akan kuasa doa". Ya kenyataan ini telah tebukti, mana-mana kuasa diduni, baik kuasa wang, politik dan sebagainya belum tentu bekuasa menyatukan kita, tetapi tebukti KUASA DOA ITU TELAH MENDAHULUI SEGALA KUASA YANG ADA.

Monday, March 17, 2014

Kenapa? Malukah? Kamu ada pergi carikah?

Sudah masuk hari yang ke-9 MH370 hilang dengan penuh misteri. Setakat ini, kita sudah mendengar pelbagai pandangan, teori, fakta dan tidak kurangnya spekulasi dalam pelbagai bentuk fomula. Tetapi malangnya, semuanya itu tidak menemukan dimana sebanarnya MH370 pada ketika ini.

Media antarabangsa telah dengan jayanya membawa tentang kehilangan ini keseluruh pelusuk dunia. Dunia memerhati dan menanti. Tidak kurangnya sama-sama berdoa dengan rakyat malaysia yang dari pada awal lagi telah disatukan dalam pelbagai latar belakang kepercayaan #Berdoa untuk MH370. Pope Francis sendiri semalam menyeru penganutnya untuk berdoa tentang kehilangan pesawat ini serta keluarga mangsa tragedi misteri ini.

Malaysia dicemuh?

Balik kepada negara kita Malaysia, dan pihak yang berkuasa yang bertanggung jawab untuk mencari dan menyelamat kehilangan MH370 ini, mereka ataupun negara kita Malaysia tidak putus-putus dikutuk dan persoalkan bagaimana aktiviti menyelamat dilaskukan.

Ya, semua sedia maklum, sebarang informasi tentang kehilangan MH370 ini adalah sangat-sangat dinantikan oleh semua pihak terutama sekali keluarga yang terlibat. Bak kata pujangga, "Penantian satu penyiksaan". Apatah lagi, informasi yang ditunggu ada berkaitan dengan nyawa seseroang yang disayangi. Tidak dapat dibayangkan bagaimana peritnya rasa dihati setiap hari menanti-nanti khabar dari orang yang tersayang.

Pihak  berkuasa negara Malaysia yang terlibat didalam pencarian MH370 ini bertungkus lumus cuba mencari seberapa banyak data untuk sekurang-kurangnya mengetahui tanda-tanda arah tuju pesawat ini dan berkongsikan maklumat tersebut  kepada keluarga yang terlibat serta media. Tetapi, segala usaha mereka seakan-akan LEWAT, TIDAK MASUK AKAL dan KURANG EFEKTIF bagi pihak-pihak yang tertentu!

Malah media-medai antarabangsa melaporkan betapa negatifnya usaha pencarian oleh pihak Negara kita Malaysia! Mereka dengan senang mnuding jari kepada ketidak keberkesanan negara kita menangani krisi ini.

Malu?

Tidak kurangnya banyak komen di media sosial, rakyat Malaysia sendiri mengutuk usaha pencarian ini. Malah ahli-ahli politik yang berhaluan kiri juga mempersoalkan tindakan kerajaan Malaysia yang memerintah sekarang sangat lembab dalam usaha pencarian ini. Malah media-medai antarabangsa mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia sendiri memberi komen yang negatif akan usaga pencarian ini!

Tidak cukup dengan kutukan dari negara luar dan media antarabangsa, kita rakyat Malaysia juga seakan-akan menyokong apa yang dikatakan oleh orang luar kepada negara kita. Malah kita malu! Malu dengan Malaysi, tanah air, tumpahnya darah ku!

Sepatutnya kita mempertahankan apa pun kekurangan yang ada dengan memberi sokongan kepada kumpulan yang mencari dengan bertungkus lumus ini. Beri mereka ruang untuk melakukan tugas mereka dan jangan paksa mereka untuk mendedahkan semua informasi yang mungkin pada suatu hari akan mengancam keselamatan negara kita!

Cukup sudah dengan memberi tekanan dan komen yang negatif akan usaha rakyat Malaysia sendiri yang mencari pesawat malang ini.

Dibelakang...

Kita sebagai rakyat Malaysia harus bersatu dan mendokong pasukan penyelamat kita dalam mencari pesawat ini. Kesatuan kita dalam menepis segala temohan dan kritikan amat diperlulakan pada masa ini. Doa kepada yang esa pasti mengatasi kebijaksanaan manusia dan kecanggihan teknologi dunia ini. Satu hari, dengan bersandar dan berdiri teguh dibelakang panji kebanggaan- Negaraku, kita akan diperi petunjuk daripada yang esa melalui pasukan pencari dan penyelamat kita.

#Doa Untuk MH370

Tuesday, March 11, 2014

DOA & HARAPAN BUAT MH370...SEGERA PULANG

Hari ini genap hari yang ketiga selepas mistei kehilangan MH370 sejak awal pagi sabtu yang lepas. Sesamamu mengikuti perkembangan pencarian  MH370 ini melalui media perdana. Maklumat tekini dari ASTRO AWANI sangat membantu  disamping saluran medianyang lain. Syabas ASTRO AWANI.

Sehingga kini, kehilangan MH370 menjadi misteri dan menimbulkan banyak persoalan.  Sehingga menyebabkan banyak "wartawan" terjun yang memenuhi ruang siber , terutamanya medis sosial. Sehingga kebanyakan media sosial menjadi longgokan berita yang bukan sahaja diragui, malah melahirkan pelbagai spekulasi.

Tidak kurangnya ada segelintir pengguna media sosial sanggup mempolitikkan isu ini. Malah ada yang sanggup mempersendakan negara nya sendiri keatas apa yang berlaku. Media sosial dijadikan ruang untuk mengutuk, memperlikan kejadian ini tanpa mengira sensitiviti keluarga yang terlibat.

Sikap kemanusiaan yang tipis.

Sesamamu sangat geram dana marah dengan banyak pengguna media sosial dengan komen dan status yang langsung tidak membantu. Malah tidak mempunyai ciri-ciri kemanusian yang sejati. Kejadian ini seakan-akan medan untuk mereka mempersendakan negara mereka sendiri tanpa mengiraukan perasaan orang lain.

Doa untuk MH370

Walaupun ada ayang mempersenda usaha pencarian MH370 ini, segelintir masyarakat media sosial yang mulai mengeposkan komen-komen positif telah mulai ketara. Doa untuk MH370 terus menjadi satu fenomena yang terus menjadi pendorong semangat kepada keluarga mangsa yang terlibat. Ini serba sedikit telah membantu mengurangkan apa-apa spekulasi liar sebelum ini.

Semangat kenegaraan rakyat Malaysia khususnya telah mengerakkan kita semua meletakkan apapun perbezaan yang ada dan bersatu hati berdoa untuk ketentuan akan kejadian ini. 

Rukun negara yang pertama menjadi.

Rukun negara kita yang pertama telah benar-benar menjadi, dengan menyatukan negara kita Malaysia yang pelbagai latar belakang kepercayaan ini. Masjid-masjid seluruh negara diarahkan untuk menaikkan doa hajat, tidak kurangnya gereja-gereja setempat, kuil-kuil dan semua rumah-rumah ibadah meohon hikmat dan petunjuk dari Tuhan. Disini, rakyat Malaysia satu hati dibelakang keluarga-keluarga yang kehilangan orang yang tersayang, ayah ataupun ibu kepada sikecil yang tercari-cari, anak kepada orang tua yang ditinggalkan ataupun saudara dan teman yang kita kenali.

Sebagai rakyat Malaysia yang masih berharap yang terbaik kepada MH370, percaya bahawa doa kita akan menyatukan kita yang berbeza ini dan menjadikan sesuatu yang mustahil dimata manusia itu, TIDAK MUSTAHIL dimata TUHAN.

Ayo, terus doakan ketenangan kepada keluarga yang telibat dan kekuatan serta hikmat kepada pasukan mencari dan menyelamat di luar sana. Yang terbaik jika hati kita terus besatu.

Wednesday, February 26, 2014

Kenapa mesti berbeza?

Kenapa mesti berbeza? Tuhan telah menjadikan kita berbeza pada dasarnya. Agama, latar belakang sosial, suku kaum, bahasa, dan banyak lagi yang berbeza ada pada setiap individu itu.

Jadi kenapa mesti ada perbezaan ini?

Bagi sesamamu, ada satu yang pasti kenapa mesti ada perbezaan. Kita dijadikan berbeza supaya kita bersatu. Tanpa perbezaan ini, tiada istilah kesatuan. Jadi, hargai perbezaan yang ada pada setiap diri kita. Terutama kita yang hidup dalam pelbagai perbezaan ini.

Tetapi, perbezaan yang ada ini juga jika diperbesarkan akan memisahkan kita. Paling malang ialah jika ada yang sanggup mengapi-apikan setiap perbezaan yang ada. Ini adalah hasil daripada mereka yang tidak menghargai perbezaan itu. Apa yang mereka lihat adalah mereka berbeza kerana merekalah yang terbaik ataupun jauh lebih hebat dari yang lain. Inilah punca perpecahan dan perbalahan kepada perbezaan yang ada ini.

Jadi, hargai perbezaan yang ada, yang dibenarkan keatas kita. Untuk kita besatu..:)

Monday, February 17, 2014

jadilah keajaiban itu...

Apabila melihat akan apa yang berlaku kepada bumi, kehidupan manusia dan bencana alam disekeliling kita sekarang ini. Segea kita akan mengatakan, 'ah sudah tiada harapan lagi!' ataupun, dengan satu persoalan, 'masih adakah harapan lagi?'. Dalam eri kata lain, kita sudah putus asa dan kecewa dengan apa yang belaku.

Bagi yang setia berdoa meminta dari SANG EMPUNYA BUMI DAN ISINYA, kadang-kadang kita tertanya-tanya bilakah Dia menjawap ataupun setidak-tidaknya memberi kita harapan kepada doa kita.

Dengan mengambil apa yang berlaku didalam negara kita sekarang, sikap perkauman semakin menjadi-jadi, penindasan terhadap golongan yang terus merana dengan kenaikan kos sara hidup, ketidak adilan demi memberi laluan kepada selera pembangunan dan wang yang sangat rakus dari golongan korporat dan tidak kurangnya alam semulajadi yang kian gersang akibat dan atas nama kemajuan.

Disini Sesamamu ingin memberi harapan ataupun sekurang-kurangnya memulihkan semangat yang kian pudar itu. Kitalah harapan tersebut! kitalah jawapan kepada doa itu! dan kitalah keajaiban yang diimpikan pada masa ini. Tiada masa untuk duduk diam dan menyesali apa yang telah berlaku tetapi inilah saatnya untuk kita menjadi mukzijat ataupun keajaiban tersebut. Mulai dari kita sendiri.DAN SEKARANG!

Friday, February 14, 2014

Segala sesuatu ada waktunya...ada waktu untuk berdiam dan waktu untuk berdiri-bersuara...

Sudah hampir dua bulan Sesamamu menyepikan diri dan tidak membuat sebarang komen didalam blog ini. Untuk dua bulan yang sudah, pelbagai kejadian dan isu yang telah terjadi disekeliling kita terutamanya didalam negara kita sendiri.

Bermula dengan Isu penggunaan eklusif khalimah Allah untuk orang Islam sahaja telah mengundang pelbagai reaksi. Sehinggakan raja-raj sebahagian negeri di Tanah besar Malaya mengisytiharkan perkataan Allah milik eklusif mereka, orang bukan Islam dilarang untuk menggunakan, bukan satu tetapi ada 32 dua perkataan lagi. Alkitab dirampas orlah JAIS juga telah menarik minat ramai individu yang berpengaruh untuk membuat komen dan tidak kurangnya demo-demo yang berupa provokasi untuk mengekalkan hak mutlak mereka terhadap nama Allah itu.

Dari segi isu sosio ekonomi pula, kenaikan kos sara hidup telah menjadi perbualan setiap hari oleh pengkritik-pengkritik bebas dikedai kopi. Kenaikan harga barang disana-sini telah mulai dirasai oleh rakyat Malaysia yang dikategorikan berpendapatan sederhana dan rendah. Dan isu ini menular kepada perang media dan demo antara pro kerajaan dan yang membantah tentang kenaikan kos sara hidup ini. Dari isu kangkung terus kepada tawaran tampar menampar telah mewarnai media cetak mahupun elektonik dinegara kita. Tidak hairan kanak-kanak umur 5 tahun tahu akan lagu "lenggang-lenggang kangkung" versi "kangkung turun harga".

Dan tidak kurangnya politik negara kita diwarnai dengan satu warna yang "bukan kuning" lagi. Dimana seorang MP itu meletakkan demi memberi laluan kepada "boss"nya untuk menjayakan apa yang dianggapnya sebagai perjuangan keadilan. Sebelum hal ini berlaku, Sesamamu merupakan seorang pengikut yang setia dalam mengikuti perkembangan perjuangan nya. Tetapi setelah kes "satay Kajang" ini, Seasamamu sangat terkilan kepadanya. Ikut suka hati dia sahaja letak jawatan dan panggil bossnya yang dia anggap sebagai "penyelamat" untuk mengambil alih. Undi rakyat dikotak-katikkan. BERSIH kah ini?
Apapun alasan si"boss" ini, Sesamamu tidak beriminat kerana cara ia lakukan adalah sungguh tidak bermoral. Undi rakyat dipermainkan dengan begitu rupa. Bagi Sesamamu, selagi dia berpendapat dia adalah "penyelamat" setiap keadaan, selagi itulah perjuangannya Sesamamu akan lihat sia-sia untuk diikuti.

Akhirnya, dia berundur diri!!! Hooray!!! dan penggantinya dipilih oleh dia sendiri atas mandat yang diebrikan kepadanya. Tetapi, Sesamamu dapat rasakan ada suara-suara yang diluar sana yang tidak menyangkakan ini pilihannya. Ada juga yang tertanya-tanya kenapa timbalan Presiden dari majorti Kaum yang ada di Sarawak tidak dicalonkan atau dinaikkan secara automitik? Emmm....apapun yang keputusannya, satu takhta yang lebih tinggi lagi diidamkan si 32 tahun yang sudah memerintah ini.

Adakah pembinaan Baram dam dan dam-dam yang lain akan diteruskan seperti yang diwartakan oleh "mereka" yang mahu empangan ini terus dilaksanankan? Bagaimana perjuagan mereka yang di KM15, Baram yang membantah keras pembinaan empangan ini? Adakah kehidupan anak-bini dan generasi mereka ini terbela? Harapan Sesamamu agar perjuagan mereka yang mempertahankan tanah serta hutan mereka dari ditenggelami bukanlah perjuangan yang sia-sia dan orang Baram sahaja!

Begitu banyak yang berlaku didalam rangkuman dua bulan yang lepas, yang pasti Sesamamu akan terus berkarya didalam blog ini menengahkan isu-isu yang berkaitan dengan hak sesama kita. Sesamamu akan cuba mengetengahkan beberapa isu yang berkaitan dengan kita, alam semulajadi dan sesama ciptaan yang hidup ini dengan lebih lantang lagi...sebab segala sesuatu ada waktunya...ada waktu untuk berdiam dan ada waktu untuk berdiri dan bersuara...