sesamamu

Monday, September 20, 2010

"ada ku kisah Malaysia?"

Ada ku kisah? atau juga bermaksud, ada aku peduli - tentang apa yang berlaku di negara ku Malaysia? Agak-agaknya apakah sumbangan kita kepada negara ku Malaysia?
Mungkin bagi mereka yang masih belajar, sumbangan mereka adalah kemahiran dan kepakaran yang mereka perolehi daripada pendidikan menjadi  sumbangan yang bakal mereka berikan kepada negara. Dan bagi mereka yang bekerja baik dengan kerajaan mahupun dengan swasta, masing-masing rasanya akan mengatakan khidmat dan bakti setia mereka yang menyumbang kepada negara ku Malaysia. Bagi  mereka rakyat biasa pula, sumbangannya mungkin berupa jasa bakti kepada tanah, air dan mungkin udara yang dimiliki di negara kita adalah satu cara membalas jasa kemakmuran negara kita Malaysia ini.

Bagaimana dengan ketidakadilan sosial kita...

Seperti ada kepincangan berlaku apabila bercakap tentang ketidakadilan sosial di negara kita. Sebagai contoh, kenapa mesti ada orang yang miskin tegar di dalam masyarakat kita. Yang hidup cukup-cukup makan sahaja. Sedangkan yang kaya semakin kaya- raya. Seakan- akan ada sesuatu yang tidak "ngam " dalam sistem pengagihan hasil di negara kita. Kita beria-ria cuba menghapuskan pengemis jalanan untuk memastikan bandar kita bersih daripada peminta-peminta sedekah ini dan menjaga imej negara "membangun". Tetapi, tahukah bahwa apa yang para pengemis ini lakukan bukan kerana kehendak mereka, tetapi mereka wujud "MUNGKIN" kerana kepincangan sistem aliran pendapatan negara yang tidak kesampaian kepada mereka yang serba kekurangan ini?

Bagaimana dengan keadaan Politik yang kita impikan...

Bila bercakap pasal politik, berapa ramaikah dari kalangan kita yang mengambil berat untuk menyatakan pendirian kita di atas kertas undi? Atau cakap-cakap angin sahaja dalam saluran internet. Kenapa masih ramai lagi rakyat kita Malaysia yang sudah layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi. Ini adalah satu contoh sikap "ada ku kisah" atau tak ambil peduli sebagai seorang rakyat Malaysia.
Kalau mahu melihat keadaan politik yang kita impikan, daftar lah sebagai pengundi yang sah dan dengan itu undi anda dapat mewakili suara anda dan pemimpin yang kita mahu akan mewakili suara kita suatu hari nanti.

Bagaimana dengan Masalah-masalah sosial masyarakat kita...

Apa pendirian kita sebagai rakyat Malaysia apabila mendengar ada bayi yang di buang...ada kanak-kanak didera...ada keganasan berlaku terhadap wanita...pembunuhan kejam di sana-sini...lagi-lagi rogol-Lagi-lagi rogol...
adakah kita mengambil sikap "ada ku kisah?"...
Sesamamu dapat rasakan bahawa...Mungkin satu perbuatan yang mudah yang kita boleh lakukan ialah mengambil kisah dan peka terhadap masalah-masalah ini. Ambil berat bukan bermaksud menjaga tepi kain orang, tetapi kita "prihatin" terhadap apa yang berlaku disekeliling kita. Menjadi mata dan telinga mahupun perasaan rakyat Malaysia...
Dengan mengambil peduli, kita sebenarnya juga menyumbang kepada kemakmuran negara kita...

Bagaimana dengan bumi yang kita tumpangi ini...

Zainal Abidin  dalam lagu "HIJAU" menyatakan keadaan yang berlaku sekarang dan masa yang akan datang terhadap bumi kita jika kita mengambil  sifat "ada ku kisah?" terhadapnya.
Kenapa mesti kita terus lena dibuai mimpi dan tidak melihat apa yang kita telah lakukan kepada alam semesta kita?
Ini lah masanya kita menyumbang sesuatu kepada negara kita dengan mengambil berat tentang apa yang berlaku kepada alam flora dan fauna di negara kita. Banyak perkara-perkara kecil yang kita boleh lakukan secara langsung dapat menyumbang kepada kesejahteraan bumi di negara kita ini.  Bak kata Nabil Raja Lawak..."lu fikirlah sendiri..." bermaksud 1001 cara kita boleh selamatkan bumi yang kian pudar ini...

Menjadi  manusia yang "aku kisah..."

Kalau kepentingan diri didahulukan, inilah lah yang bakal yang terjadi kepada kita. Iaitu menjadi manusia yang "ada ku kisah?" ataupun tidak mahu ambil peduli tentang apa yang berlaku dipersekitarannya. Bagi manusia jenis ini, mereka hanya tahu menyumbangkan bakti mereka kepada negara dengan bersyarat. Jauh sekali mereka mahu menyumbang sesuatu kepada negara nya Malaysia dengan percuma mahupun sukarela. Lebih buruk lagi, mereka hanya tahu membidas, mencemoh, mengata, memfitnah kerajaan mahupun seseorang pemimpin itu. Ini adalah tabiat yang lahir daripada manusia yang ada kepentingan diri didalam segala perkara yang dilakukannya...
Katakan TIDAK kepada pemikiran "ada ku kisah?" 

Mari kita menjadi masyarakat Malaysia yang tahu ambil kisah...tahu katakan "aku kisah" kepada apa yang berlaku dipersekitaran kita kerana sikap inilah yang akan menyumbang kepada kemakmuran negara kita Malaysia...

SELAMAT HARI MALAYSIA YANG KE 47 TAHUN

1 comment:

  1. Christian and Politics

    http://thestar.com.my/lifestyle/story.asp?file=/2010/9/19/lifefocus/6880606&sec=lifefocus

    ReplyDelete