sesamamu

Monday, June 14, 2010

HIV/AIDS

Kali ini Sesamamu akan memberi serba sedikit maklumat mengenai HIV/AIDS ...(dari majlis ADIS Malaysia)

APAKAH HIV?
Human Immunodeficiency Virus (HIV)
HIV adalah virus yang menyebabkan AIDS. HIV menyerang sistem daya tahan badan*, menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif-HIV (HIV+) tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS.
* Sistem daya tahan badan adalah mekanisma badan yang terdiri daripada sel darah putih. Sel-sel ini menyerang dan membunuh kuman dan virus yang masuk ke dalam badan kita.

APAKAH AIDS?
Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS)
AIDS adalah nama yang diberi kepada sekumpulan penyakit yang menjangkiti orang yang HIV+. Ia berlaku apabila sistem daya tahan badan orang tersebut menjadi semakin lemah dan tidak berupaya melawan penyakit.

Bagaimanakah HIV boleh dijangkiti?
HIV hanya boleh dijangkiti melalui cara-cara berikut sahaja:
  1. melalui perhubungan seks tidak selamat (seks tidak selamat adalah seks tanpa menggunakan kondom lateks).
  2. melalui perkongsian jarum suntikan atau picagari.
  3. melalui ibu kepada bayinya semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan.
HIV hanya boleh berjangkit melalui darah, air mazi dan air mani termasuk darah haid. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur darah orang lain melalui luka, kesan lecetan atau kudis. Mereka yang menjaga pesakit-pesakit AIDS dan yang memberi pertolongan cemas patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung tangan getah semasa melakukan tugas.

Bagaimanakah HIV tidak boleh dijangkiti?
HIV tidak boleh berjangkit melalui air peluh, air kencing atau air mata. HIV tidak boleh berjangkit menerusi kulit yang sihat ataupun melalui udara seperti virus selesema. HIV tidak boleh hidup di luar badan manusia seperti di atas kulit atau pakaian, dalam air atau udara.
HIV tidak boleh dijangkiti melalui
  • Pendermaan darah
  • Berjabat tangan dan berpelukan
  • Berkongsi telefon, kolam renang dan tandas awam
  • Berkongsi makanan dan perkakas dapur
  • Berkongsi tempat tinggal, bekerja bersama, belajar bersama atau berkongsi tempat tidur
  • Bersin, batuk, air peluh atau air kencing
  • Gigitan serangga (termasuk gigitan nyamuk) atau binatang
  • Menjaga seseorang yang positif-HIV

Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?
Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV

Apakah tanda-tanda atau simptom-simptom jangkitan HIV?
Permulaan jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Ada jangkitan yang akan menunjukkan simptom yang menyerupai demam selesema tiga sehingga enam minggu selepas jangkitan. tetapi ini berlainan dari seseorang ke seseorang yang lain; orang itu mungkin sembuh dan berkeadaan sihat selama beberapa tahun sehinggalah sistem daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit disebabkan jangkitan penyakit yang berulang-kali. Tanda awal yang serupa juga berlaku semasa jangkitan virus lain. Oleh kerana tanda-tanda ini hilang dengan mudahnya, ramai yang tidak mengendahkannya dan mengaggapnya sebagai penyakit biasa. Jadi, satu-satunya cara untuk mendapat kepastian adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV terutamanya jika anda rasa anda telah melakukan aktiviti yang berisiko.

Tolong sebarkan maklumat ini...

No comments:

Post a Comment