sesamamu

Saturday, October 24, 2009

Manusia kah itu???

Sungguh tidak berperikemanusian langsung! Masih ada lagi manusia yang tidak berhati perut di dalam dunia yang serba moden ini. Oleh kerana nafsu sarakahnya, sanggup melakukan perkara yang terkutuk terhadap budak kecil yang berumur 8 tahun itu. Budak yang masih mentah dan suci adanya tergadai masa depan dan maruahnya dengan "umpan" si gila seks RM5 ini. Kalau nafsu telah mengawal diri, ia menguasai segala tindak tanduk makhluk yang dipanggil "manusia".

Lain pula ceritanya dengan si ibu tiri ini, yang menjual khidmat seks anak tirinya yang berusia 11 tahun ini dengan harga RM5-RM10. Selain wang khidmat seks itu diambil sepenuhnya, si ibu tiri yang tidak waras ini juga mendera anak perempuan ini dan adiknya yang berusia 9 tahun. Manakah naluri seorang ibu ataupun setidak tidaknya sebagai seorang yang bernama manusia!!!

Terima kasih kepada segelintir masyarakat kita di negara ini yang masih peka dan serius akan perkara ini dan tampil kehadapan untuk membawa mereka-mereka yang seumpama binatang ini kepengadilan. Sekurang-kurangnya, dapat meringankan apa yang berlaku kepada mangsa-mangsa seks ganas ini.

kedua-dua cerita diatas adalah sebahagian sahaja keganasan seks dan penderaan yang berlaku kepada kanak-kanak di Malasysia. Masih ramai lagi kanak-kanak yang hilang dan sehingga sekarang masih belum ditemui di mana dan bagaimana keadaan mereka disaat ini. Dan tidak kurangnya yang dijumpai mati dengan keadaan yang menghayat hati.

Sampai bilakah keganasan seks ini berlaku kepada anak-anak kecil ini? sampai bilakah penderaan ini berlaku kepada anak-anak yang masih suci dan murni ini? Apa salah dan silap mereka? Kenapa manusia yang makhluk teristimewa ciptaan Tuhan yang maha perkasa ini tergamak melakukan hal yang sedemikian rupa. Zalim dan kejam!!!

Bukankah kanak-kanak ini memerlukan bimbingan dan kasih sayang yang sepatutnya dari orang yang lebih dewasa?

Ia memeluk anak-anak kecil ini, lalu meletakkan tangan Nya keatas mereka dan memberkati mereka (Mat 10:13-16)

Oleh itu, saya menyeru kepada kita semua, sama-sama membenteras dan membantah keganasan seks dan penderaan kanak-kanak ini. Kita sudah serik dan muak dengan perbuatan terkutuk ini. Mari bersama-sama isytiharkan Khamis berpakaian Hitam sepenuhnya- menentang keganansan kanak-kanak ini. (Every Thusrday in Black)

Mari!!! sokong kampen ini. Perkara kecil yang kita sama-sama lakukan ini, akan membawa kesedaran kepada masyarakat kita untuk membenteras keganasan seks dan penderaan kanak-kanak ini.

Sunday, October 18, 2009

Robohkan tembok Prejudis itu...

Hari raya aidilfitri telah masuk minggu yang ke-3, dan rakan -rakan kita umat Islam mungkin masih merasakan kehangatan hari raya ini. Di akhbar-akhbar tempatan kita, masih ada banyak lagi rumah terbuka aidilfitri yang dikelolakan oleh baik badan kerajaan mahupun bukan kerajaan. Ini bermakna, rumah-rumah terbuka ini sememangnya terbuka kepada semua, didalam konsep 1-Malaysia kita.

Tetapi sebelum hari raya ini, kalau kita masih ingat lagi apabila kita semua sama-sama mengingati penubuhan Malaysia yang jatuh pada 16 September yang lepas. Banyak pertubuhan gereja dan NGO bersama-sama berdoa dan berpuasa untuk kesejahteraan dan keamanan negara kita yang tercinta ini.

Saya sungguh tertarik kepada satu petikan artikel dari www.themicahmandate.org di mana sekumpulan pelajar Kristian di Tasmania bangun seawal jam 4 pagi dan berpuasa bersama-sama serta berdoa untuk "birthday" Malaysia. Ya, mereka bersahur bersama dan berpuasa sepanjang hari dan diakhiri dengan berbuka puasa bersama-sama seperti rakan Muslim mereka yang lain.

Apa yang menjadi dorongan saya ialah, kesungguhan sekumpulan "pelajar Kristian" yang di Luar negara sama-sama melalui apa yang rakan muslim mereka lalui sepanjang bulan puasa tersebut dan mengingati negara kita Malaysia di dalam doa mereka. Bagi saya, mereka telah mengambil satu langkah yang bermakna didalam merobohkan tembok prejudis yang telah lama kita bina terhadap "Mereka" selama ini selain berada berjauhan di negeri orang.

ayo! rakan-rakan pelajar Kristian ku yang ada di Malaysia ini, ambil langkah yang walaupun kecil ini untuk kita sama-sama merobohkan tembok prejudis yang kita telah bina sekian lama dengan datang kepadaNya mohon pengampunan dan berdoa untuk "Mereka".

bukan kah kita dari Bapa leluhur yang sama "Abraham"???

Monday, October 12, 2009

ada apa dengan cinta?

Dimulakan dengan persoalan tersebut, "ada apa dengan cinta"?

Satu kisah yang menarik perhatian saya pada minggu yang lepas di dalam akhbar tempatan kita.
"Seorang bapa tiri kepada anak perempuannya diikat kakinya dengan rantai yang hujung rantai tersebut dipasang "Pelampung bulat" yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan di laut dalam. Bapa tiri budak perempuan itu merantai anak tirinya ini kerana tidak merestui hubungan cintanya dengan seorang mamat tu. untuk mengelakkan anak perempuannya ini lari dan berjumpa kekasihnya, maka dirantailah anaknya itu. Tetapi, dia berjaya melepaskan diri dan berjumpa kekasihnya seterusnya mereka berdua membuat laporan ke Balai Polis. ya, Kalaulah Bapa anak ini tidak merestui hubungan mereka kerana sayang akan anak tirinya yang berkawan dengan seorang pemuda yang mungkin tidak menentu masa depannya tetapi berhak kah anak perempuannya itu diikat dengan rantai?

Jadi, apa kaitannya dengan "sesama mu...?"

Itu cuma satu lumrah hidup, apa yang berlaku didalam kehidupan di dunia ini. Pada dasarnya pengertian kepada "CINTA" itu telah pudar atau mulai hilang dari hati dan perasaan manusia. Oleh kerana tidak ada perasaan cinta yang sebenar ini, maka orang lain selain dirinya juga dipandang tidak guna atau tidak penting dalam hidup seseorang itu. Jadi bagaimana mahu berikan cinta itu kepada orang lain atau seperti cerita yang diatas tadi, dimanakah cinta dan kasih kepada anaknya walaupun anak tiri? adakah dengan mengikat dia? atau kalau ya pun pemuda ini tidak ada masa depan dan tidak layak berkawan dengan anaknya, tidak ada peluangkah untuk dia menyintai dan dicintai? semua manusia layak dicintai dan menyintai kan?

Ada apa dengan cinta? sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku dengan cinta itu, cuma kita sebagi manusia ini yang tidak memahami apa itu erti cinta sebenarnya...

Bagi kita yang memahami akan cinta yang semula itu, cinta yang sempurna itu, yang awal dan akhir itu, kita pun secara semulajadinya mudah mengasihi orang lain dengan sepenuh dan setulus hati kita...

Lihat disekeliling mu, mereka yang kita asingkan daripada hidup kita, yang kita asingkan dari masyarakat kita, seperti mereka yang menghidapi HIV/AIDS, orang Miskin, Orang yang kurang upaya, anak-anak yatim piatu, penagih-penagih dadah, pekerja-pekerja seks dan banyak lagi masyarakat yang kita letakkan "diluar kota hidup kita" seperji zaman Tuhan Yesus, orang-orang ini disimpna dan singkirkan di Luar kota seperti orang pesakit kusta. Jadi mereka ini pesakit kusta moden zaman ini.


Bukan kah mereka juga layak untuk memiliki cinta itu? "Begitu besar cinta/kasih Tuhan kepada dunia ini..." kepada siapa? orang sihat?, orang kaya?, orang yang bagus-bagus sahaja?, orang yang pergi selalu beribadah sahaja?, orang yang dalam gereja sahaja?...


Saturday, October 3, 2009

Bukan hanya dengan perkataan...

Dalam minggu ini, kita banyak mendengar apa yang berlaku kepada dunia kita yang semakin tua ini. Bencana alam berlaku di sana sini. Jiran-jiran terdekat kita seperti mereka yang dilanda malapetaka gemba bumi di Padang-Sumatera dan mereka yang ditimpa malapetaka angin dan ribut hujan yang lebat di Kembodia, Vietnam dan Filipina. Malapetaka ini telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan meninggalkan kesan yang pahit didalam sejarah hidup mereka yang terlibat ini.

Pada suatu ketika, saya menyaksikan(Berita di TV) satu keluarga yang meraung kesedihan yang teramat sangat apabila melihat satu-persatu ahli keluarganya dibawa keluar dari runtuhan bangunan di Padang-Sumatera Indonesia, maka timbul rasa sedih dan simpati saya terhadap keluarga tersebut, saya bersyukur kita jauh daripada pengalaman pahit ini. Apa yang mampu saya buat, terus berdoa untuk mereka yang didalam kesedihan kerana kehilangan orang tersayang ini dari sisi mereka.

Dalam masa yang sama, bencana alam ini telah membawa masyarakat dunia untuk mula menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa malapetaka alam ini. Bantuan-bantuan ini terus dihulurkan dengan sukarela sehingga ke saat ini. Tidak ketinggalan negara kita Malaysia. Malah hari ini(2 Oktober), PM mengarahkan negara kita menghantar pakar-pakar perubatan ke Padang-Sumatera dengan kadar yang segera. Kudos!

Apabila melihat, semua negara di sekeliling kita sama-sama datang menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam ini, baik di Indonesia, Filipina, Kembodia, Vietnam dan Samoa, saya dapat rasakan betapa kita sebenarnya mempunyai satu "kasih" yang menyatukan kita, tidak kira latar belakang kita yang berbeza ini. Suara mereka yang meraung kepiluan itu didengar dengan satu tindakan yang amat pantas. Bukankah ini bermaksud "kasih" sesamamu manusia?

Dan apa yang berlaku ini juga telah membuktikan yang masyarakat dunia kita sekarang ini juga mengerti akan kasih itu dan mengasihi bukan dengan perkataan atau dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan kebenaran. (1Yoh 3:18)

ya! Bukan hanya kata-kata, tetapi dengan perbuatan itu sendiri.

Oleh itu, lihat sekeliling mu, mereka yang memerlukan huluran bantuan tangan mu...marilah kita sama-sama mendalami erti kasih "Sesamamu..." ini. Ianya melebihi daripada segala yang kita lafazkan dan katakan. Dengan melakukannya, kita tahu bahawa kita hidup di dalam Dia, kerana kita tahu kita melakukan perintah-Nya...

P/S Terus ingat mereka dan keluarga mereka di negara-negara yang ditimpa malapetaka alam ini. Biar Tuhan menyertai mereka didalam saat-saat kesukaran ini dan dalam masa yang sama menggunakan sukarelawan-sukarelawan yang di sana menenangkan dan memberi penghiburan kepada mereka.