sesamamu

Friday, September 27, 2013

Pesanan Sempena Hari Malaysia 2013 daripada YB Baru Bian

Setelah mendengar Pesanan Yb Baru Bian di RFS tempoh hari, Sesamamu sangat tertarik dengan ucapan yang sangat bernas lagi informatif, terutama untuk generasi muda dari Bumi Kenyalang untuk menghayati makna 50 tahun pembentukan Malaysia ini. 

Terima kasih dengan YB kerana memberi salinan asal ucapan nya ini dsewaktu berucap diperayaan Hari Malaysia di Selangor baru-baru ini. Dan juga membenarkan Sesamamu untuk mengongsikan nya di dalam blog ini.


"Terlebih dahulu, saya ingin mencatatkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memberi tempat dan masa untuk kita mengingatkan satu detik sejarah Negara kita yang penting dan bermakna bagi kita semua sebagai rakyat Malaysia. Terima kasih juga saya ucapkan kerana menjemput saya untuk memberi ucapan sempena hari yang bersejarah ini mewakili kita yang asal dari Sarawak.

Saudara/saudari, sempena menyambut hari ulangtahun pembentukan Malaysia yang ke-50,ini adalah masa yang sesuai bagi kita semua untuk mengimbas kembali makna Hari Malaysia khususnya kepada penduduk Sarawak, serta melihat kepada pencapaian keseluruhan masyarakat Sarawak pada hari ini. Di manakah kedudukan kita sekarang, dalam terma pembangunan dan kemajuan ekonomi, dalam terma integrasi dan keharmonian masyarakat, dalam terma kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat? Mengapakah nenek moyang kita bersetuju menyertai Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura untuk membentuk Malaysia 50 tahun dahulu? Adakah visi dan harapan mereka demi Sarawak telah tertunai?

Pada hari ini saya ingin mengingatkan bukan hanya penduduk Sarawak dan Sabah tetapi saudara/saudari kita dari Semenanjung Malaysia kepada kata-kata Allahyarham Tunku Abdul Rahman berkenaan dengan pembentukan Malaysia: ‘bahawa salah satu objektif utama adalah untuk kemajuan dan pembangunan ekonomi Wilayah Borneo agar taraf hidup dan kemahiran teknikal mereka dapat ditingkatkan, dan suatu asas kukuh dapat disediakan bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi…… agar jurang di antara negeri yang mundur dan negeri yang maju dapat dikurangkan’.

Pada hari ini juga saya ingin mengingatkan rakyat Sarawak tentang satu legacy yang positif yang telah ditinggalkan oleh Rajah Putih (The White Rajah) dalam kata yang lain iaitu “The 9 Cardinal Principles” atau ‘9 Prinsip Utama’ dalam urus-tadbir yang baik, yang kemudiannya dijadikan sebagai “Preamble” atau Landasan Perlembagaan Negeri Sarawak yang pertama, yang berbunyi demikian dalam bahasa Inggris:


Sarawak Order No. C-21 (Constitution) 1941 enacted 24 September 1941 (in part only).
Now therefore it is meet that we should pronounce and declare the principles of government, which have actuated our predecessors and ourselves during the one hundred years of the rule of the English Rajahs. And we do urge that these same principles which have brought peace and contentment to our people may serve to guide the members of the Councils of State who will hereafter be responsible for the good Government of Sarawak.
Let the Cardinal Principles of the rule of the English Rajahs as set out hereunder therefore be remembered:
1. That Sarawak is the heritage of our Subjects and is held in trust for them.
2. That social and educational services shall be developed and improved and the standard of living of the people of Sarawak shall steadily be raised.
3. That never shall any person or persons be granted rights inconsistent with those of the people of this country or be in any way permitted to exploit Our Subjects or those who have sought our protection and care.
4. That justice shall be easily obtainable and that the Rajah and every public servant shall be freely accessible to the public.
5. That freedom of expression both in speech and writing shall be permitted and encouraged and that everyone shall be entitled to worship as he pleases.
6. That public servants shall ever remember that they are but the servants of the people on whose goodwill and co-operation they are entirely dependent.
7. That so far as may be Our Subjects of whatever race or creed shall be freely and impartially admitted to offices in Our Service, the duties of which they may be qualified by their education, ability and integrity duly to discharge.
8. That the goal of self-government shall always be kept in mind, that the people of Sarawak shall be entrusted in due course with the governance of themselves, and that continuous efforts shall be made to hasten the reaching of this goal by educating them in the obligations, the responsibilities, and the privileges of citizenship.
9. That the general policy of Our predecessors and Ourselves whereby the various races of the State have been enabled to live in happiness and harmony together shall be adhered to by Our successors and Our servants and all who may follow them hereafter.”

Saudara/saudari, bagi saya 9 Prinsip Utama ini adalah landasan dan pertunjukan yang baik dan adil untuk pemimpin dan pemerintah yang benar-benar mengutamakan keperluan dan kedudukan rakyat jelata dalam satu negara.

Saudara/saudari,jangan kita lupa juga 18 Perkara dalam Perjanjian Malaysia yang bertujuan untuk melindungi kepentingan penduduk Sarawak, lebih-lebih lagi isu-isu yang berkaitan dengan agama, bahasa, perlembagaan, imigresen, Borneonisasi dan keahlian dalam perwakilan di dalam kerajaan pusat/persekutuan.

Hari ini, rakyat Sarawak sedang bergelut dengan isu-isu yang sangat membebankan termasuklah kos cara hidup yang kian meningkat tanpa sebarang peningkatan dalam pendapatan boleh guna; peningkatan kadar jenayah (terutamanya jenayah berat/ganas pada tahun lepas); pengagihan yang tidak adil dan kekurangan peluang-peluang ekonomi dan pendidikan; serta masyarakat luar bandar yang hidup dalam ketakutan akan kehilangan tanah mereka kepada syarikat-syarikat besar yang terlibat dalam aktiviti pembalakan dan pembinaan empangan yang disokong oleh mereka yang berkuasa. 50 tahun setelah membentuk Malaysia, 30% penduduk pedalaman Sarawak masih tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas seperti api elektrik dan bekalan air paip. Kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, klinik dan sekolah amat berkurangan manakala kemudahan yang sedia ada adalah tidak menepati piawaian yang ditetapkan dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk. Manakala para pemimpin kita telah mengumpul kekayaan yang sangat besar untuk keluarga dan penyokong mereka. Namun, rakyat kita sering diingatkan supaya sentiasa bersyukur kepada kerajaan BN atas sisa-sisa yang diberikan.

Saudara/saudari, rakyat kini memerhati dalam kebimbangan dan kebingungan terhadap kemunculan situasi berbahayaekorantiada toleransi agama dan kaum yang diakibatkan oleh hasutan oleh beberapa golongan pelampau di Malaysia, tanpa kawalan dan tindakan oleh para pemimpin negara yang berdiam diri dan seolah-olahmembenarkan isu-isu tersebutdigunakandalam usaha mereka untuk berpegang kepada kuasa. Malah kerajaan Persekutuan turut menyumbang kepada ketegangan kaum melalui isu perkataan “ALLAH” dan ketiadaan tindakan ketika kaum Cina dan India digelar pendatang dan disuruh pulang ke negara asal. Ianya sungguh memalukan apabila kita merupakan negara yang menduduki tangga teratas dalam Transparency International’s Bribery Table dan tempat ketiga dalam Global Financial Integrity iaitu kaji selidik aliran keluar modal haram di seluruh dunia, meskipun kita harus mengakui terdapat segelintir rakyat Sarawak sendiri yang menyumbang kepada pencapaian tersebut. Kita adalah sebahagian daripada negara yang, selepas 50 tahun, seolah-olah masih rapuh, terasing dan tiada pendirian. Senarai unsur-unsur negatif negara ini adalah panjang dan menyedihkan.

Kesimpulan yang nyata adalah Sarawak masih gagal hasil daripada perkongsian selama 50-tahun ini dengan Malaya. Visi Tunku masih belum tertunai dan rakyat Sarawak masih ketinggalan dalam segala aspek – dari aspek pendidikan ke penjagaan kesihatan, dari kemudahan asas dan insfrastruktur, dari pembangunan industri dan kemajuan ekonomi. Ratusan nyawa terkorban dalam kemalangan jalan raya setiap tahun kerana Kerajaan Persekutuan gagal membina sebuah lebuhraya yang sesuai merentangi seluruh negeri. Kerajaan Persekutuan juga telah mengambil sebahagian besar hasil minyak dan gas (dan terus berbuat demikian) untuk membiayai pembangunan di Semenanjung Malaysia namun tidak memberipulangan yang sepadan kepada kita, mahupun mengakui sumbangan Sarawak, yang telah terbukti merupakan satu pengorbanan yang besar olehrakyat Sarawak.

·         PEMASYHURAN MALAYSIA

Dalam refleksi ini, kita yang dating dari Sarawak tidak boleh menyalahkan pihak lain secara total. Hak-hak kita seperti yang terkandung dalam 18 Perkara sudah dihakis namun para pemimpin kita sendiri tidak mampu ataupun tidak sanggup untuk menegakkan keadilan untuk kita. Sedihnya bagi mereka, 9 Prinsip Utama(9 Cardinal Principles) seolah-olah tidak relevan /penting. Sarawak telah dilumpuhkan oleh pemimpin-peminpin yang bersikap tidak acuh di kedua-dua peringkat negeri dan Persekutuan.

Walaupun gambaran suram kelihatan, saya tidak boleh lemah semangat. Semasa lawatan saya ke pedalaman Sarawak, saya bertemu dengan orang-orang yang murah hati, baik dan ikhlas walaupun kehidupan mereka dipenuhi dengan kesusahan dan serba kekurangan. Mereka hidup secara harmoni dan tidak memahami isu perkauman dan keagamaan yang tidak masuk akal yang dilaung-laungkan oleh segelintir golongan yang cetek pemikiran di Semenanjung Malaysia. Rakyat Sarawak adalah masyarakat yang cintakan keamanan sehinggakan Rajah Putih dan nenek-moyang kita berusaha melindunginya menerusi 9 Prinsip Utama dan 18 Perkara. Selama bergenerasi, rakyat Sarawak telah hidup dalam 1Malaysia, lama sebelum ia menjadi slogan tak bererti kerajaan BN.

Saya ada alasan untuk mempunyai harapan untuk masa depan negara ini. Peristiwa beberapa tahun lalu khasnya beberapa bulan lepas telah menunjukkan bahawa walaupun terdapat cubaan mereka yang berkepentingan untuk memporak-porandakan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama, rakyat biasa tetap tidak terpengaruh. Rakyat Malaysia kini menuntut keadilan, kejujuran dan kesaksamaan, pilihanraya yang bersih dan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seperti yang dibuktikan dengan kehadiran mereka pada perhimpunan yang dianjurkan,serta undi mereka pada pilihanraya umum yang lepas. Rakyat Malaysia pada hari ini mula mengakui sejarah sebenar Persekutuan Malaysia, bagaimana ia dibentuk dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan. Rakyat Malaysia kini mencabar sukatan matapelajaran sejarah di sekolah yang telah diputar-belitkan dan meminta sejarah yang tepat ditulis dan diajar. Rakyat Malaysia sekarang amat mengambil berat akan masa hadapan negara dan bagaimana ia akan ditadbir. Rakyat Malaysia kini telah menemui suara mereka semula.

Saudara/saudari, sempena kita merayai Hari Malaysia ini, saya berdoa agar tidak lama lagi negara kita akan mempunyai pemimpin-pemimpin yang didorong oleh rasa cinta kepada negara dan keinginan untuk benar-benar berbakti dan menjaga kebajikan rakyat berbanding dengan pencarian mereka sendiri untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan. Kita memerlukan pemimpin yang memahami asas kebenaran di sebalik 9 prinsipUtama dan 18-Perkara. Kita perlukan pemimpin yang komited untuk hidup berdasarkan prinsip-prinsip ini tanpa rasa gentar atau pilih kasih dan setiap keputusannya dibuat berdasarkan kebenaran asas ini. Hanya selepas itu kita akan dapat menikmati hidup di Malaysia dan makmur seperti yang digambarkan oleh nenek moyang kita.

Selamat Ulangtahun ke-50, Malaysia.








BARU BIAN
ADUN N. 70
BA’KELALAN

21.09.13"

No comments:

Post a Comment