sesamamu

Sunday, January 17, 2010

Katakan TIDAK kepada "Uu-Ii"

Adakah kerana keistimewaan yang Tuhan berikan kepada kita(S'wak dan Sabah dalam hal penggunaan perkataan "Allah") dan keadaan yang senang lenang(Jauh daripada malapetaka bencana alam) ini membuat kita orang yang percaya kepada Tuhan Yesus itu mempunyai mentaliti tidak mahu ambil kisah tentang orang lain atau dalam ertikata lain,"U-u-I-i" di dalam peribadi dan gereja-gereja Tuhan sekarang? 


Pada 12 Januari yang lepas, kita dikejutkan dengan satu bencana alam yang amat dahsyat yang menimpa Negara Haiti. Gempa bumi bermagnitud 7.0 skala rektor yang  telah membawa kemusnahan yang amat sangat kepada Negara tersebut. Menurut sumber kerajaan Haiti, 90% Negara Haiti telah ranap teruk akibat gemba bumi tersebut. Bangunan-bangunan serta rumah-rumah ranap sama sekali menyembah bumi. Dan setakat hari ini dipercayai lebih 200,000 orang yang terbunuh dan masih banyak lagi yang terperangkap di bawah runtuhan. Dianggarkan lebih kurang 300,000 orang kehilangan tempat tinggal dan bagi yang terselamat begitu ramai yang memerlukan makanan dan bekalan perubatan. Menurut jurucakap UN di Haiti, ini merupakan malapetaka yang paling dahsyat yang pernah UN alami buat sekian lama. Kemusnahan yang teruk pasti akan mengambil masa yang lama untuk dipulihkan dan menjadi satu masalah yang besar bagi kerajaan Haiti untuk membangun semula segala infrastruktur yang sama sekali musnah.
Gegeran gempa bumi ini telah berlaku ditengah-tengah pusat bandaraya Haiti dan merupakan penyumbang utama kepada kemusnahan yang begitu dahsyat ini.  (gambar sebelah menunjukkan keadaan bandar Haiti yang musnah sama sekali akibat gegeran tersebut) 


Semalam, seorang kanak-kanak berumur 5 tahun telah dijumpai di bawah timbunan runtuhan setelah terperangkap selama 5 hari. Paling menghayat hati ialah, budak kecil tersebut terselamat didalam pangkuan ayahnya yang menggunakan badannya sebagai penghadang daripada timbunan konkrit daripada menimpa anaknya. Setelah anak tersebut dikeluarkan, dia terus mencari ibunya yang juga dipercayai masih hilang di bawah timbunan bangunan rumahnya. Dan ayahnya sudah lama mati sambil memeluk anaknya itu.

Pemandangan disekitar tempat kejadian sangat menghayat hati dengan mayat bergelimpangan dipinggiran jalan. Kebanyakan mayat dibiarkan begitu sahaja kerana tidak ada kemudahan bantuan untuk mengurus mayat-mayat manusia yang terkorban itu. Di satu kawasan, satu lubang besar telah dibina untuk menanam mayat-mayat yang terkorban in secara ramai-ramai. Lebih kurang 800 ke 1000 orang ditanam beramai-ramai. Dan ada juga mayat-mayat yang dibakar. Tetapi itu tidak cukup lagi kerana masih banyak lagi mayat yang belum diuruskan pengkebumiannya akibat kekurangan kemudahan bantuan yang sampai.
Hari ini, di dalam satu saluran Berita TV antarabangsa,  sekumpulan perempuan sedang menyanyikan lagu pujian Rohani untuk Tuhan, "Nyawa ku dibrikan bagi mu, apa kau bri pada Ku...", lagu tersebut berkumandang dinyanyikan sekumpulan wanita disekitar kawasan yang runtuh teruk itu. Sungguh menyedihkan suasana ketika itu ditambahkan lagi dengan nyanyian "hymn" tersebut. Tetapi menurut wartawan TV tersebut, "disetiap sudut kota itu, kita akan berjumpa sekumpulan mereka-meraka yang terselamat dan kehilangan orang yang tersayang menangis dan tidak kurangnya menyanyikan lagu-lagu keagamaan".

Apakah yang berlaku kepada ribuan kanak-kanak ini nanti yang kehilangan ibu bapa mereka di dalam malapetaka ini? "Sesamamu" pasti ramai kanak-kanak yang akan menjadi yatim piatu dan tidak ada tempat bergantung akibat bencana ini. Hidup mereka tidak menentu. Sana sini terdengar tangisan anak-anak mencari orang yang tersayang. Mencari ibu-bapa mereka yang hilang ditimbus konkrit-konkrit bangunan.

Bukankah anak-anak ini masih lagi memerlukan kedua ibu bapa mereka? Bagaimanakah kehidupan mereka selepas ini? Siapakah yang bersimpati kepada mereka ini nanti? Seribu satu persoalan bermain di fikiran "sesamamu".
"Ada orang yang ingin mengirim selimut dan makanan kepada mangsa bencana alam ini, tetapi saya perlukan wang anda saat ini. Sumbangan anda sangat saya perlukan pada saat ini yang berbentuk wang tunai. Perlu ingat, berbelanjalah dengan bijak kerana wang anda begitu bernilai pada masa sekarang". Adalah antara petikan kata-kata Bekas Presiden George Bush yang mengasaskan tabung kebajikan untuk mangsa-mangsa bencana gemba bumi di Haiti ini.
Apa kata kita sebagai orang Kristian di Malaysia? Adakah kita berminat untuk menyumbang wang ringgit kita untuk mereka ini ataupun mendoakan keadaan mereka yang kehilangan orang yang tersayang ini? "Sesamamu" yakin dan percaya, banyak gereja-gereja Tuhan di Malaysia ini prihatin kepada keperluan mereka ini. Kerana kita tahu tanggung jawab kita sebagai orang Kristien. Ataupun, kita hanya mendiamkan diri serta tidak mengambil kisah dengan apa yang berlaku di Sana. Aku-aku - engkau-engkau lah ataupun U-u-I-i lah. Itu masalah engkau! Bagaimana perintah yang paling utama itu?

Masih ingat cerita seorang Samaria yang baik hati itu?  Lukas 10:30-37 Apabila Tuhan Yesus bertanya kepada mereka tentang siapakah yang dikatakan sesama manusia itu? Lalu mereka menjawab; "Orang yang telah menunjukkan belas kasihan kepada orang Samaria itu". Dan Yesus berkata kepada mereka,"Pergilah dan perbuatlah demikian!"
Mereka tahu bahawa hukum yang terutama yang Tuhan Yesus maksudkan itu ialah mengasihi Dia dan mengasihi sesama manusia. Tetapi mereka masih persoalkan Tuhan Yesus apa yang patut dibuat. Adakah kita ingin menjadi seorang Kristien seperti ini? Tahu tapi pura-pura tidak tahu? Ataupun saja tidak mahu ambil kisah?

Jelas sekali perintah Tuhan Yesus kepada kita, "Pergilah dan perbuatlah demikian!". Di dalam konteks cerita orang Samaria yang baik hati ini Tuhan Yesus maksudkan kita "Pergi dan lakukan"...jelas menunjukkan apa yang harus kita buat untuk orang yang memerlukan bantuan daripada kita yang berkemampuan ini. Maksud "sesamamu" ialah, keadaan kita yang amat damai ini, jauh daripada malapetaka bencana alam yang jahat dahsyat ini. Jadi sepatutnya tanggung jawab kita menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan ini.

Kalau kita tidak mampu melakukannya secara perseorangan, saya pasti gereja-gereja setempat kita dapat mendorong jemaatnya terlibat bersama dengan menghulurkan bantuan, baik dari segi kewangan ataupun doa-doa orang yang percaya. Ianya bukan untuk mendapat populariti ataupun publisiti murah, tetapi Hukum yang paling utama yang kita orang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus harus lakukan. 
Bercakap tentang Populariti. Bukankah kerana kasih anugerahnya kita sudah popular??? Bukankah terang itu di dalam kamu kerana Aku adalah terang, jadi kita seharusnya menjadi terang seperti bintang yang menerangi langit yang gelap! Jadi, kita sebagai orang yang percaya ini sebenarnya telah dan sudah menjadi Bintang yang terang itu. alam erti kata lain, sudah popular pun, tapi kita yang tidak mengakui akan kita ini "STAR" ataupun secara tidak langsung tidak mengakui terang itu sudah ada didalam kita.(Bahaya ni- kerana Dia kata "Aku adalah terang dunia"). Lagi pula bagaimana terang yang terletak di kota yang tinggi itu dapat disembunyikan??? Kan kita ini dipanggil untk menjadi terang???




"Sesamamu" percaya bahawa pada hari-hari kebaktian ahad pada minggu-minggu yang akan mendatang lebih banyak gereja-gereja Tuhan akan memperuntukkan untuk mengadakan persembahan Khusus untuk mangsa bencana alam di Haiti ini nanti. Bukan gereja-gereja, malah apa-apa jenis pertubuhan Kristien, baik di kampus, sekolah dan tempat kerja akan melakukan tabung khas untuk mangsa-mangsa gempa bumi di Haiti yang memerlukan ini. Malah setiap Buletin gereja akan tercatat perkara doa untuk "mangsa gempa bumi di Haiti" pada minggu-minggu yang akan mendatang. Sebab kita semua tahu kepentingan untuk memikirkan tentang orang lain selain kepentingan kita sendiri sahaja. Lupakan sebentar untuk mengumpul dana untuk "pembangunan gereja" buat seketika dan salurkan "offering " pada hari tersebut kepada mangsa bencana di Haiti ini.

Katakan tidak kepada "U-u-I-i" iaitu tidak kepada sikap tidak ambil kisah tentang orang lain ataupun tidak mahu ambil peduli apa yang berlaku kepada orang lain. Sudah menjadi tanggung jawab kita bagi orang-orang yang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus. Kerana ia termaktub di dalam Alkitab dan Alkitab itu sendiri menceritakan akan tentang cerita kasih. Kasih dari dan kepada Dia yang mencipta segalanya dan kasih kita kepada semua ciptaan Nya.


Pesanan "sesamamu"....

"Sesamamu" juga mengingatkan umat Kristien di Sarawak katakan tidak kepada "U-u-I-i" mentaliti terhadap apa yang berlaku di dalam negara kita dengan isu penggunaan perkataan "Allah" itu. Walaupun kita di Sarawak dan sabah diberikan keistimewaan untuk menggunakan perkataan tersebut, tetapi Sikap sambil mengambil berat juga harus jemaat Tuhan di Sarawak tunjukkan kepada rakan-rakan seiman kita yang di Semenanjung pada saat ini. Ingat! mereka di Semenanjung membuat pendirian ini demi kita yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di dalam kebaktian kita di sini, tetapi mereka pula yang menderita kerana kita. Tolong gereja-gereja Tuhan di Sarawak dan sabah jangan ambil mudah perkara ini dan terus berpuas hati dengan keistimewaan yang diberi ini. Sepatutnya kita bersama-sama berdoa untuk rakan-rakan seiman kita di Semenanjung.
jadi...Katakan tidak kepada "U-u-I-i".

No comments:

Post a Comment