sesamamu

Thursday, October 27, 2011

“Beri laluan-beri laluan, VVIP didahulukan, Rakyat beri laluan…”

Sesamamu pasti kita sudah mengalami pengalaman ini bukan? Setiap kali kalau ada VVIP yang melalui jalan yang sama kita lalui walaupun didalam keadaan sesak mahupun “Jam” yang amat sangat, apabila VVIP ini mahu melalui jalan yang sesak tersebut, siren akan dibunyikan, dan ada suara separa marah atau geram memberi arahan,”beri laluan-beri laluan”. Dan walaupun sesesak mana jalan raya yang kita lalui ketika itu, sudah pasti dengan terpaksa kita alihkan kenderaan kita untuk memberi sedikit ruang yang ada supaya kereta-kereta VVIP yang menyatakan slogan 1Malaysia-Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan ini berlalu dengan senang dan tenangnya…

Kenapa? Oleh kerana mereka VVIP kah?

Saya juga pembayar cukai jalan, dan berhak beratur panjang menunggu giliran lampu bertukar hijau untuk meneruskan perjalanan walaupun terpaksa terkandas dijalan beberapa jam.  Tetapi, oleh kerana mereka VVIP, dan mereka juga bergegas kesatu-satu tempat “Kerja” mereka, kita yang bangun 2-3 jam lebih awal dan terkandas dijalan raya terpaksa memberi lalaun kepada mereka apabila bapak polisi itu cakap, “Beri laluan-beri laluan”.
Pernah sekali sesamamu tidak endah dengan arahan tersebut kerana apabila sesamamu dapat tahu yang ingin melalui jalan yang sememangnya sempit dan sesak itu adalah orang No 1 Sarawak, apabila tiada pilihan kerana jalan begitu sesak ditambah lagi dengan lori-lori simen yang besar di hadapan, sesamamu tidak mengendahkan arahan “beri laluan” tersebut. Apa lagi, itu “Sarjan Misai” jeling-jeling dan dengan ganasnya mengarahkan sesamamu alihkan kenderaan ke tepi untuk memberi laluan kepada itu NO 1 Sarawak. Sesamamu tidak tahu kalau ada undang-undang jalan yang mengarahkan kita memberi laluan kepada kenderaan VVIP lalu. Kalau kenderaan keselamatan seperti Bomba, Ambulan dan Polis, adalah…Tapi kalau ia pun, pihak Polis Trafik yang memberi arahan “beri laluan” itu sepatutnya mengutamakan rakyat terlebih dahulu sebelum itu VVIP kan? Sebab slogan itu “mereka” yang “composed” dan nyanyikan…

Slogan yang betul…”Beri laluan-beri laluan, VVIP didahulukan…dan rakyat beri laluan…”

Penghapusan kewarganegaraan kerana prejudis?


Walaupun kedua ibu-bapanya mempunyai  Kad Pengenalan-Mykad yang terpangpang kewarganegaraan Malaysia yang sah, tetapi malangnya setelah menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan untuk anak mereka yang berumur 1 tahun ini, kedua ibu-bapa dari suku kaum yang kecil di Sarawak ini terperanjat apabila tercatat status pesakit itu sebagai :Warga Negara asing?

Prejudis kalau kaum minoriti datang berubat…
Sesamamu dapat simpulkan kes ini sebagai satu kes yang pelik tapi benar di sebuah Negara yang merdeka. Apa tidaknya, terang-terang kedua ibu bapa anak yang berumur 1 tahun ini dinyatakan sebagai warga Negara asing, dan lebih memeritkan lagi, kenyataan pegawai perubatan ini yang menyatakan bahawa, “kalau ada suku mana-mana suku kaum yang kencil lagi terpencil ini datang berubat, agak sukar untuk menyatakan status warga Negara mereka yang sebenar, jadi lebih mudah melebalkan mereka –warga Negara asing.”
Ternyata sekali ini adalah sikap prejudis terhadap suku kaum yang kecil dari pendalaman ini.
Jadi anggota RELA  bererti “mampu” bayar caj hospital…
Sesamamu pasti, perkara yang sama berlaku kepada sepasang suami isteri dari satu kaum minoriti ini apabila mereka dikenakan caj perubatan RM180.00 sedangkan anak mereka baru meninggal! Bukan sahaja sikap tidak sensitif ini langsung tidak ada pada mana-mana pegawai yang terlibat, tetapi kenyataan pengarah Hospital terbabit yang menyatakan “Oleh kerana dia mengatakan dia anggota RELA, maka salah faham telah berlaku”. Adakah dengan menyertai RELA seseorang itu dari kalangan yang mampu? Kalau begini keadaannya, rata-rata orang-orang yang di hulu sana berstatus baik kerana mereka menyertai RELA?
Bagi sesamamu, ini adalah sikap Prejudis terhadap satu-satu suku kaum minoriti di Sarawak masih menebal dikalangan “mereka” yang langsung tidak sensitif terhadap kemampuan sesuatu kaum ataupun “manusia” amnya.  Sungguh menyedihkan!

Demi sebuah bangsa manusia yang tidak membezakan kita sesama manusia, mari kita sama-sama robohkan tembok prejudis antara kita…dan membina sama-sama Jambatan yang menghubungkan segala perbezaan itu.

Wednesday, October 26, 2011

Tajuk lagu - "SCORE" dan "EMPANGAN" menduduki carta lagu "PEMBANGUNAN" Sarawak!

Kebelangan ini, di Sarawak kita didendangkan dengan lagu yang bertemakan "Pembangunan". Tajuk-tajuk lagu yang paling popular ialah "SCORE" dan "EMPANGAN".

Sebagai rakyta dan manusia biasa yang menumpang di bumi bertuah - Sarawak ini kadang kala tertanya-tanya apakah semua ini sangat diperlukan oleh orang-orang Sarawak? Walhal...sudah lama lagu bertemakan "Pembangunan" ini berkumandang, tetapi Sarawak pada dasarnya masih jauh ketinggalan-mundur adanya. Masih ada rumah-rumah panjang yang belum ada bekalan air bersih mahupun elektirk untuk menerangi malam mereka. Jalan raya, jauh panggang dari api! Tengok sendiri jalan Kuching-Lawas! Jadi kenapa tidak disegerakan atau diperhebatkan pembangunan insfrastruktur ini terlebih dahulu? Adakah dengan adanya empanagan dan SCORE, baru kemudahan asas ini dapat dilakukan?

Adakah dendangan lagu-lagu yang bertajukkan "SCORE" serta "EMPANGAN" akan hanya sedap didengar sahaja?

Sesamamu sebagai rakyat biasa sangat-sangat berharap lagu-lagu ini harus dihentikan demi sebuah bumi yang kian usang serta semakin menuju kehancuran bukan kerana kehendak Si Penciptanya tetapi oleh kerana ketamakan manusia yang kian semakin hari semakin tidak peduli akan apa yang berlaku dipersekitarannya. Hentikannya demi sebuah kelangsungan kehidupan generasi pewaris akan datang. Dan perhebatkan dahulu pembangunan Insfrastruktur terlebih dahulu.

Hutan dan pokok ditebang demi tajuk lagu "SCORE" dan "EMPANGAN" ini. Oleh kerana dendangan lagu bertemakan "Pembangunan" ini telah meresap ke DNA para pencipta lagu ini, ketamakan serta kerakusan mereka untuk terus menjadikan lagu ini terus bertakhta di persada juara lagu "Pembangunan" semakin menjadi-jadi.
 Malah para pengubah lagu ini tidak peduli akan apa yang berlaku dengan orang lain, apatah lagi dengan flora dan faunanya!

Kita kata "BERHENTI"! dia melenting!!!

Apabila ada orang tidak mahu mendengar lagu mereka ini, mereka melenting. Mereka kata kita tidak mahu pembangunan. Masih mahu mundur kebelakang. Bagi mereka, lagu-lagu yang mereka dendangkan itu amatlah berkeramat serta berpuaka. Jika tidak dihayati, mundur dan kebelakanglah alamatnya.
Rakyat yang menentang akan dianggap penyekat kepada saluran pembangunan itu mengalir ke sesuatu kawasan yang ingin dimajukan.

Tetapi, dalam masa panjang, bumi bertuah ku Sarawak ini suatu hari nanti akan hilang HIJAUnya dan seri lagu "melodi kasih" yang sepatutnya kedengaran di setiap pelusuk rimbanya...

Teman...pilihan ada ditangan kita.

Monday, October 17, 2011

Akibat suami, si isteri menghidap HIV/AIDS

Sesmamu dikejutkan dengan satu email dari sumber yang boleh dan sangat dipercayai kerana sumber tersebut datang daripada seorang pegawai dari sebuah badan bukan kerajaan - rumah kebajikan penghidap atau pembawa HIV/AIDS.
Sesamamu ingin kongsikan maklumat ini bersama-bersama pembaca blog ini betapa HIV/AIDS ini telah semakin menular di dalam masyarakat kita. Yang lebih memeritkan lagi bahawa, jangkitan HIV/AIDS ini semakin menjadi dikalangan si isteri....bermakna akibat perbuatan si suamilah!


Si suami bawa bala...

Ini mungkin akibat mengunjungi rumah-rumah pekerja seks yang kemungkinan besar yang telah dijangkiti HIV/AIDS ini. Menurut laporan tersebut, jumlah si isteri yang dijangkiti HIV/AIDS adalah jauh lebih besar daripada jumlah pekerja-pekerja seks yang sudah sedia maklum akan status mereka sebagai pembawa HIV/AIDS.
Jadi, si suami yang telah melakukan seks baik sebelum mahu pun sesudah menikah dengan pekerja-pekerja seks yanag telah dijangkiti ini merupakan faktor utama mengapa isteri mereka yang menjadi mangsa jangkitan HIV/AIDS ini.

Ramai anak-anak kehilangan ibu diwaktu muda...

Laporan ini menyatakan, kebanyakan si isteri yang dijangkiti adalah wanita-wanita muda ataupun isteri-isteri muda. Dan kesannya adalah sangat parah apabila, bukan sahaja si isteri yang mengandung itu akan sengsara kehidupannya sekepas ini, tetapi juga kepada anak yang dikandungkan. Pasti, HIV/AIDS ini juga menjangkiti si kecil yang tidak tahu apa-apa ini.
Ada juga anak-anak yang masih muda telah kehilangan ibu mereka yang tersayang setelah HIV/AIDS ini meragut nyawa mereka.

Stigma terhadap HIV/AIDS masih sangat tebal...

Masyarakat di negara kita masih mempunyai STIGMA yang sangat TEBAL terhadap HIV/AIDS.  Jadi, kebanyakan si isteri yang dijangkiti HIV/AIDS ini malu ataupun takut untuk melaporkan status mereka. Malah, si suami yang menjadi punca jangkitan ini ingin menjaga status dan martabatnya, mengambil sikap tidak mahu ambil peduli apatah lagi untuk mendapatkan rawatan bagi isterinya. Sedihkan?
Tetapi akhirnya, yang merana ialah si isteri yang tidak bersalah.
Pengetahuan masyarakat umum tentang HIV/AIDS ini sangat cetek. Ini merupakan penyumbang kepada ketebalan STIGMA masyarakat terhadap penyakit ini.


Setiap individu di Malaysia mempunyai peranan kita masing-masing didalam mengatasi stigma ini...

Sunday, October 2, 2011

HIJAU- Kenapa mesti hijau???


Apabila kita melancarkan kempen HIJAU-Kekalkan alam semulajadi ini serta Berhenti pemotongan Pokok (GREEN-Keep our Nature-Stop chopping the tree), merupakan satu respon kita kepada apa yang berlaku kepada bumi kita sekarang.
Dari penghujung tahun 1990an lagi, kebanyakan pemimpin dunia telah bermesyuarat untuk menangani masalah bumi ini, tetapi sehingga sekarang, masalah ini seakan-akan tiada penghujungnya. Masing-masing kita mengutamakan kepentingan manusia sejagat tetapi, pada dasarnya, kebergantungan manusia sejagat adalah dari hasil bumi ini YANG KIAN PUPUS ITU!!!

Tetapi sekarang seakan-akan telah terbalik. Songsang sama sekali. Bukan bermaksud kita harus mengutamakan kepentingan sumber alam ini terlebih dahulu barulah manusia, tetapi, apa yang sesamamu ingin nyatakan disini ialah, ketaksuban manusia sekarang ini sehingga sanggup mengetepikan kepentingan pemuliharaan alam ini demi kesinambungan kewujudan manusia sejagat! songsang!!

Kenapa mesti HIJAU?

Ada beberapa sebab dan tidak perlu sesmamu huraikan disini. Cukup untuk kita sama-sama renungkan...

1- Manusia semakin Bertambah tapi... sumber bagaimana?
2- Sumber semulajadi semakin berkurangan...padang gurun?
3- Pemanasan Global...paras air semakin meningkat?
4- Terdedah dengan cahaya ultra yang berlebihan...lapisan ozon semakin menipis?
5- Iklim dan keadaan cuaca yang tidak menentu...bumi hilang keseimbangannya?

Ok...cukup setakat ini dahulu...tapi ini adalah sebab TERPENTING kenapa perlu HIJAU!!!
Sama-sama kita renungkan!!!!


HENTIKAN PEMBINAAN EMPANGAN BARAM!!!!!

Duit kebajikan untuk OKU pun lambat???

Sesamamu ingin menyuarakan keluhan beberapa teman yang OKU penglihatan mereka. Sesamamu dengar sendiri keluhan mereka setelah 3 bulan mereka belum menerima wang kebajikan RM300 yang sepatutnya mereka terima setiap bulan. Persoalannya, kenapakah wang tersebut mengambil masa yang begitu lama untuk "diproses". Sehingga ada dari kalangan mereka dengan nada bergurau menyatakan, "orang tukang sign cek pend dia sudah habis ink".

Ini wang untuk orang susah!

Apalah jika dibandingkan pendapatan mereka yang belum pasti setiap bulan. Denagn hanya berbekalkan kudrat yang ada untuk mengurut selama 1 jam dengan bayaran RM25 sekali urut, bagaimana ini mungkin untuk mereka menyara keluarga mereka. Ya , keluarga mereka kerana ada dari kalangan mereka ini telah berkeluarga serta mempunyai anak.
Jika wang yang sepatutnya diberikan kepada mereka ditahan ataupun ditunda pemberiannya, bukankah ini akan menambahkan beban nafkah harian mereka? Ini wang orang susah! jadi kenapa perlu ditahan? Terlalu banyakkah birokrasi sehingga OKU pun kena melalui peringkat-peringkat birokrasi yang ada?
Tidak cukupkah kaki tangan kerajaan didalam kementerian ini sehingga begitu sukar untuk mengurus hanya sebilangan kecil OKU di negara kita ini? Dah lah huha-huha menyatakan yang kaki tangan kerajaan akan menikmati kenaikan gaji sebanyak 40%.

Jadi, mana-mana kementerian yang berkaitan, uruskanlah pemberian wang kebajikan itu dengan kadar yang segera ya....