sesamamu

Wednesday, August 31, 2011

Detik 12 tengah Malam penuh makna...

Sesamamu berkesempatan bersama-sama dengan sekumpulan pelajar IPTA yang meraikan detik kemerdekaan buat kali keduanya. Kali ini ia lebih bermakna lagi kerana perayaan hari kemerdekaan diraikan bersama dengan bulan Syawal- Hari Raya Aidilfitri yang dirayakan oleh rakan-rakan muslim kita.

Kenapa detik 12 tengah malam penuh makna?

Sebelum Tunku bersama-sama rakyat Tanah Melayu ketika itu melaungkan kemerdekaan diawal pagi 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, detik 12 tengah malam, jatuh tanggal 31 Ogos adakah detik yang  bersejarah. Pada tengah malam tersebut, buat kali terakhirnya bendera British-Union Jack diturunkan dari kedudukannya dari Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, selain bendera Union Jack ini diturunkan buat kali terakhir, malah lagu kebangsaan British itu  juga berkumandang untuk kali terakhirnya pada detik 12 tengah malam itu.

Sesudah Union Jack diturunkan, Tunku bersama-sama rakyat Tanah Melayu yang berada di Dataran Merdeka ketika itu bersama-sama melaungkan - MERDEKA-MERDEKA-MERDEKA buat julung kalinya. Dan laungan MERDEKA itu adalah yang pertama disorakkan setelah negara kita mencapai kemerdekaan yang mutlak.

Dalam masa yang sama, setelah Tunku dan rakyat jelata ketika itu melaungkan MERDEKA, dengan rasa megah dan bangganya, ribuan rakyat di Dataran merdeka pada ketika itu menyanyikan lagu NEGARA KU buat kali pertama dan dalam masa yang sama jalur gemilang dinaikkan dan terus berkibar megah diangkasa pada detik 12 tengah malam itu.

Itu adalah beberapa rentetan sejarah kenapa detik 12 tengah malam ini begitu bererti dan bermakna sekali...

Detik 12 tengah malam 31 Ogos terus bermakna.

Tidak sabar rasanya untuk menyertai detik 12 tengah malam ini untuk tahun yang hadapan. Biar detik ini terus bermakna bagi semua rakyat Malaysia. Biar detik ini terus dinanti-nantikan setiap tahun. Biar detik ini membawa pengertian yang lebih bermakna untuk generasi muda pada masa sekarang. Dan biar detik ini terus diraikan bersama-sama...

Menceritakan pengalaman bersama-sama dengan beberapa pelajar IPTA ini, sesamamu merasakan begitu terharu apabila tepat 12 tengah malam, laungan MERDEKA disorakkan, dan seterusnya diakhiri dengan menyanyikan lagu kebangsaan kita - NEGARA KU ditengah malam buta.

Dan pastinya, sebelum detik 12 tengah malam itu, mereka telah sama-sama kongsikan impian mereka kepada Negara yang tercinta ini, disusuli pula dengan mendoakan Negara mereka yang tercinta ini.

Terima kasih MMC (Midnight Merdeka Celebration) geng kerena sanggup bersengkang mata untuk menunggu Detik 12 tengah Malam penuh Makna ini...

p/s Tahun depan kita buat lagi ya...




















No comments:

Post a Comment