sesamamu

Sunday, May 15, 2011

Kebaikan terserlah disebalik kekejaman....

Beberapa minggu yang lepas, kita dipaparkan dengan cerita yang sangat mendorong. Ia mendorong kerana, di dalam banyak-banyak cerita "kekejaman" serta "hidangan cerita politik yang PANAS"  dipaparkan di dada akhbar tempatan, ada satu kisah kehidupan yang sangat menarik perhatian sesamamu untuk perkatakan pada minggu ini. Lahirnya seorang wira di tengah dunia yang disekitar sikap manusia yang "ada ku kisah?" ini.

Ia mengisahkan seorang pemuda yang mati setelah melakukan pernafasan mulut ke mulut (CPR) kepada 3 mangsa lemas. Difahamkan, pemuda ini menemui ajalnya setelah memberi CPR kepada mangsa ke tiga dan setelah selesai melakukan CPR tersebut, dia tiba-tiba pengsan dan meninggal dunia.

Bertindak tanpa berlengah...

Si pemuda ini sedang bersembang dengan ibunya pada satu petang dan apabila mendengar sekumpulan kanak-kanak meminta tolong setelah dibawa harus ombak yang di persisiran pantai tersebut, si pemuda ini tanpa berlengah, terus bertindak dan terjun menyelamatkan ke tiga-tiga mangsa tersebut. Setelah menaikkan mereka bertiga di kawasan yang selamat, dia langsung melakukan CPR ke atas tiga orang budak ini.
Mangsa yang ketiga adalah mangsa yang terakhir menerima "nafas" daripada si pemuda ini sebelum dia pengsan dan terus meninggal dunia.

Masih ada lagi harapan...

Di sebalik kekejaman serta budaya manusia pada zaman moden ini yang menjurus kepada "kepentingan peribadi" ataupun sikap "ada ku kisah" ini, cerita si pemuda ini memberi satu sinar harapan bahawa masih ada lagi segelintir manusia yang sebenarnya "ambil kisah" tentang orang lain. Walaupun kita tidak mendengar ataupun hanya dihidangkan dengan kisah kekejaman di sekeliling kita ini, sesamamu masih menaruh harapan bahawa masih ada segelintir insan di bumi ku Malaysia ini yang sanggup korbankan jiwa dan raganya kepada orang lain, malah orang yang bukan kita kenalai sekali pun. Kisah pemuda ini boleh menjadi sebagai contoh yang baik pada kita sekarang ini kerana dia sanggup berkorban walau nyawanya sekalipun untuk menyelamat orang lain. Pemuda ini adalah wira sebenarnya bagi sesamamu! Sanggup korbankan nyawa untuk sesiapa sahaja sekalipun tidak mengenali mereka!

DIA sudah bagi contoh itu...

Semasa Tuhan Yesus mati di kayu salib, Dia telah memberi contoh yang terbaik apa ertinya kasih tersebut. Dinyatakan Nya dengan sanggup mati untuk mereka yang belum pernah bertemu dengan Dia sekalipun ataupun untuk mereka yang langsung tidak mengenali Dia. Apa yang dilakukannya lebih bererti daripada kata-kata yang indah sekalipun. Dia sudah memberi contoh yang terbaik bagaimana kita seharusnya hidup di dunia ini.

Oleh itu, mari kita sama-sama mengambil iktibar melalui cerita ini. Satu cerita yang memberi sinar harapan, serta kehidupan kepada kita sesama manusia...

No comments:

Post a Comment